Dr Mahathir sahkan pemimpin Umno Sabah jumpa beliau sebelum umum keluar parti


(FMT) – Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pemimpin Umno Sabah yang umum keluar parti hari ini telah menemui beliau minggu lalu.

“Ya, mereka bertemu dengan saya dan memberi tahu saya mereka mahu meninggalkan Umno,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Beliau berkata demikikn kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Proton X70 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Perdana Menteri berkata, keputusan pemimpin-pemimpin Umno keluar parti itu atas kehendak sendiri,bukan dipaksa mana-mana pihak.

“Mereka nak keluar, mereka buat keputusan sendiri dan jika mereka tidak mahu keluar mereka boleh kekal,” katanya.

Ditanya sama ada PH akan menerima wakil-wakil rakyat yang keluar itu sebagai ahli dalam gabungan parti PH, Dr Mahathir berkata mereka akan membuat penilaian terlebih dahulu berdasarkan rekod lalu.

“Kita perlu melihat bagaimana kelakuan mereka. Sekiranya mereka menyokong dan tidak melakukan apa-apa (yang tidak wajar) sebelum ini, kami boleh menerima mereka.

“Buat masa ini mereka perlu kekal Bebas dan menyokong kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan Umno Sabah yang dikatakan lumpuh apabila Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli Bebas.

Hajiji berkata, keputusan meninggalkan Umno itu dibuat sebulat suara.

“Malangnya, Umno bukan seperti dulu lagi. Kepimpinan sedia ada tidak mempunyai arah politik yang jelas,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

“Kita tidak pasti ke mana arah Umno. Ada kenyataan bercanggah tentang masa depan, bergantung kepada siapa pemimpin di atas yang kita tanya.”

Mereka yang keluar parti itu terdiri daripada 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian Umno Sabah.

Selain Hajiji yang merupakan Adun Sulaman, Adun lain ialah Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manyangjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Empat ahli Parlimen adalah Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), manakala 2 senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua Umno Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai Umno Bahagian Pensiangan.

Terdahulu sebuah portal berita melaporkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein adalah dalang di sebalik tindakan beberapa wakil rakyat parti itu yang berpaling tadah.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian bekas naib presiden Umno itu tampil menafikannya.

 



Comments
Loading...