Kejadian pertama berlaku di Surau Bukit Serkam apabila jemaah yang memasuki surau tersebut untuk menunaikan solat subuh menemukan ketulan daging itu yang berselerak di pekarangan surau kira-kira pukul 5 pagi.

Salah seorang jemaah, Adam Abdullah, 65, berkata, dia terus memaklumkan perkara tersebut kepada pihak surau dan menghubungi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas mengesyaki longgokan daging ditemukannya adalah babi.

Kejadian yang sama turut berlaku di Surau An Nur di Ladang Serkam apabila seorang pekerja pembersihan wanita menemukan ketulan dipercayai daging babi kira-kira pukul 8 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, daging berkenaan yang dicampak ke dalam kawasan surau akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan manakala dua kad manila yang digulung dengan perkataan yang polis tidak boleh dedahkan.

Menurut Raja Shahrom, pihaknya telah mengarahkan semua ketua polis daerah untuk mengawal keselamatan rumah-rumah ibadat di negeri itu termasuk surau, masjid, kuil dan tokong bagi tujuan keselamatan.