Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, lebih malang lagi, bukan sahaja melanggar peraturan tetapi apabila diminta berpindah, golongan ini menuntut pula pampasan dan tanah yang baharu.

Beliau secara sinis berkata, perbuatan itu menunjukkan betapa mudahnya untuk mendapat tanah pampasan kerajaan dan itu pun ada yang mendakwa kononnya tertindas dan dipaksa menukar agama.

“Kadang-kala tempat yang dibina rumah ibadat ini memang menganggu kemudahan awam seperti kita lihat di pintu masuk Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan pihak berkuasa hanya berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Asri, jika sebelum ini, kerajaan terdahulu membiarkan perkara itu berlaku kerana terlalu hendak menjaga undi, maka kerajaan baharu wajarlah menegakkan peraturan tegas dalam bernegara.

“Malaysia bukan memakai undang-undang rimba yang membolehkan mana-mana pihak memacak rumah ibadat di mana sahaja mereka suka.

“Apatah lagi rumah ibadat itu tidak seimbang dengan taburan penganutnya. Sebelum keadaan lebih buruk, eloklah kerajaan hari ini membetulkan keadaan yang lepas dan menegakkan undang-undang sepatutnya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi ini, puluhan individu merusuh di kawasan tapak kuil terbabit sebelum tercetus pergaduhan di lokasi berkenaan sehingga mengakibatkan sebanyak 18 kenderaan dilaporkan dibakar.

Sehingga kini, tujuh lelaki berusia 30-an ditahan polis berhubung kes tersebut.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan tapak asal kuil tersebut dikosongkan manakala kuil berusia 140 tahun itu pula dipindahkan ke lokasi lain.

Difahamkan, kerajaan Selangor menyerahkan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil.