Anwar lebih teruk dari isu 1MDB – Nasrudin


(Malaysia Gazette) – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunjuk hero dan menghentam orang lain dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerana beliau 10 kali lebih teruk dari itu.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, tuduhan bakal Perdana Menteri kelapan itu kepada Pas golongan berserban, agamawan dan akademik yang membisu ketika skandal kewangan 1MDB berlaku sebagai “rabun dekat” dan “tuli badak”.

“Saya kira Anwar telah alami “rabun dekat” atau “tuli badak” bila gagal mengambil maklum peranan alim ulamak khasnya pimpinan Pas dalam isu 1MDB.

“Barangkali pemikirannya juga mudah dieksploit oleh fitnah sebahagian media sehingga menelan segala pembohongan dan putar belit fakta.

“Apakah beliau mahu pimpinan Pas yang berserban dan berijazah itu menjerit dan melaung-laung bagai Ahli Parlimen PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam Parlimen baru dinilai berperanan dalam menangani isu 1MDB?” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Nasrudin, beliau juga sambil melilit serban besar di kepala turut melontarkan beberapa soalan untuk Anwar.

Katanya, di mana suara lantang Anwar ketika skandal kewangan yang terburuk dalam sejarah berlaku di Malaysia sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an?

Adakah Anwar juga telah menjadi alat perkakas murahan kerana gejolak nafsu untuk menjadi Perdana Menteri?

Menurut Nasrudin, Anwar menyertai UMNO pada 29 Mac 1982 sebelum bertanding dan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen Permatang Pauh dan dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Jelasnya, walaupun Anwar seorang yang lantang mengkritik kerajaan ketika menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), tetapi apa yang telah beliau lakukan ketika pelbagai skandal kewangan terbongkar sejak 1981.

“Di mana Anwar ketika negara mengalami kerugian berjumlah RM1.6 bilion akibat skandal syarikat Maminco 1981, di mana dia ketika negara diheret kerugian sebanyak RM2.5 bilion dalam kes Bumiputera Malaysia Finance tahun 1983.

“Di mana Anwar ketika negara rugi sehingga RM10 bilion akibat skandal syarikat Perwaja Steel 1988 dan di mana dia ketika negara menanggung kerugian RM10 bilion dalam isu forex.

“Tidakkah ketika semua skandal kewangan negara berlaku, Anwar adalah sebahagian anggota kabinet kerajaan,” soal beliau.

Nasrudin mendedahkan, Anwar selesa menjawat satu persatu jawatan daripada Timbalan Menteri di JPM (1982), kemudian Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1983), Menteri Pendidikan (1986), Menteri Kewangan (1991) sehingga Timbalan Perdana Menteri (1993).

Namun, katanya, selepas dipecat daripada kerajaan dan UMNO, barulah beliau dilihat gigih melawan regim Tun Dr Mahathir Mohamad pada waktu itu.

Kata beliau, sebelum memenangi PRU Ke-14, Pakatan Harapan (PH) berjanji menubuhkan satu suruhanjaya untuk menyiasat Tun Dr Mahathir.

“Di mana pula suruhanjaya siasatan sekarang? Kalau rumah kita berdinding kaca, jangan melontar batu ke rumah orang,” ujarnya.

 



Comments
Loading...