Mahasiswa desak PH tunai janji PTPTN


(FMT) – Lebih 300 mahasiswa hari ini berarak ke Ibu Pejabat Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi (PTPTN) bagi membantah keputusan Pakatan Harapan (PH) berkaitan pembayaran semula pinjaman dalam Bajet 2019.

Exco Politik Gabungan Mahasiswa Islam (GAMIS) Yazid Khairul Azman berkata, himpunan yang diadakan pada hari ini adalah sebagai tanda bantahan mahasiswa terhadap kerajaan yang mengingkari manifestonya sendiri.

“Kita tuntut janji berkaitan PTPTN untuk selamatkan negara ini, untuk selamatkan pemimpin kita, kita tidak mahu mereka mewarisi sifat yang memungkiri janji.

“Jadi apabila sudah mungkir, maka memilih PH tidak berbaloi lagi dan menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia membuang (PH) dari Putrajaya. Ia adalah isyarat kepada kerajaan.

“Hal ini kerana terdapat sebilangan mahasiswa yang mengundi PH atas sebab pembaharuan yang mereka tawarkan, namun mereka mungkiri,” katanya sewaktu berucap dalam himpunan itu.

Perarakan yang bermula di Masjid Jamek itu melalui pusat membeli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Namun, perarakan yang menentang arus jalan raya menyebabkan kenderaan tidak bergerak.

Mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dalam himpunan ini rata-ratanya memakai baju berwarna hitam, dengan membawa sepanduk “Tuntut Janji PTPTN”.

Sewaktu berarak, mereka turut melaungkan “Tolak Dr Maszlee Malik”, “Tuntut Janji PTPTN”.

Yazid berkata, sekiranya rakyat Malaysia, termasuk mahasiswa boleh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya lepas, maka perkara sama boleh dilakukan terhadap PH dalam pilihan raya akan datang.

 



Comments
Loading...