Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, ini kerana kedua-dua  sekolah vernakular itu dibuka kemasukannya untuk semua kaum.

Menurutnya lagi, perbezaan sekolah vernakular adalah mempelajari lebih ilmu dan bahasa-bahasa termasuk sekolah agama yang menawarkan pendidikan Islam.

“Tiada unsur perkauman. Sekolah-sekolah ini menerima semua kaum. Yang berbeza sekolah-sekolah ini mengajar lebih ilmu dan membenarkan orang belajar bahasa Cina, Tamil ataupun agama Islam,” katanya sewaktu berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Wanita dan Pemuda Gerakan di Menara PGRM di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Cheah Soon Hai.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini yang menggesa orang Cina dan India di negara ini membantah ICERD bagi mengelakkan SJKC serta SJKT dihapuskan.

Asyraf Wajdi memberitahu, jika Malaysia mengiktiraf ICERD, kerajaan perlu bersedia menutup SJKC dan SJKT.