Projek solar Sarawak: Rosmah, Rizal didakwa terima rasuah lebih RM200 juta


(FMT) – Isteri kepada bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa bersama bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah dikatakan cuba mendapat RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd. Saidi Abang Samsudin antara Mac dan April 2016.

Jumlah itu ialah 15% daripada nilai kontrak yang dikatakan sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapat projek terbabit melalui rundingan terus Kementerian Pendidikan.

Rosmah turut didakwa menerima rasuah RM1.5 juta daripada Saidi bagi membantunya mendapatkan kontrak itu di kediaman peribadinya di Taman Duta, di sini pada 7 September 2017.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika sabit kesalahan, belia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda daripada nilai rasuah bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar mengetuai pasukan pendakwaan.

Mahkamah membenarkan Rosmah diikat jamin RM1 juta dan peguamnya memohon hakim membenarkan anak guamnya membayar jumlah itu secara ansurans dalam masa 10 hari.

Hakim bagaimanapun mengarahkan Rosmah membayar RM500,000 hari ini dan bakinya diselesaikan dalam seminggu.

Awal Jun lalu, Sarawak Report melaporkan projek hibrid solar itu Datuk Seri Najib Razak mengarahkan kontrak itu diberikan kepada Jepak Holdings, sebuah syarikat kereta sewa berpangkalan di Bintulu.

Jepak Holdings dilantik pada akhir 2016 untuk membekalkan diesel dan membaiki generator, serta sistem hibrid solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Bagaimanapun, tiada sekolah yang mempunyai sistem itu sehingga kini.

Di kamar berasingan, Rizal, 44, mengaku tidak bersalah terhadap 4 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM218 juta bagi projek hibrid solar di sekolah di pedalaman Sarawak.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menetapkan ikat jamin RM1 juta dengan 2 penjamin, selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Bahrin dan peguam tertuduh, Ridha Abdah Subri.

Hakim membenarkan Rizal membayar RM500,000 hari ini dan bakinya sebelum 22 November ini.

“Semua pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga pelupusan kes,” kata hakim.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 November ini.

 



Comments
Loading...