Nazri tolak ICERD, tak boleh terima haknya dihapuskan kerana diskriminasi


(FMT) – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana beliau tidak boleh menerima haknya dihapuskan atas alasan diskriminasi.

“Dari awal lagi saya tolak ICERD. Saya sebagai seorang Melayu dan beragama Islam tak pernah pun mempersoalkan hak-hak orang lain.

“Bolehkah saya terima kalau hak-hak saya dikatakan harus dihapus kerana diskriminasi? Jawapannya tidak,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Pada 8 November lalu, delegasi Malaysia ke persidangan penilaian berkala sejagat (UPR) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland mengumumkan pengesahan ICERD akan ditentukan selepas rundingan dengan pihak berkepentingan.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Ramlan Ibrahim dilapor mengesahkan Putrajaya sedang menimbang pengesahan ICERD dan 5 perjanjian hak asasi antarabangsa lain.

Susulan itu, Umno dan PAS memutuskan untuk mengadakan kempen besar-besaran bagi menbantah hasrat kerajaan.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menghadiri himpunan di Pasir Salak, Perak, Sabtu ini.

Hari ini, Nazri berkata, beliau tidak akan menyertai himpunan membantah ICERD anjuran PAS dan Umno pada hujung minggu ini.

Katanya, beliau masih menunggu kerajaan menyatakan pendirian sebenar berhubung ICERD.

“Kita tunggu dan lihat. Kita hanya akan bertindak jika UPR benar-benar meratifikasi ICERD.”

Selain Umno dan PAS, parti komponen dalam Pakatan Harapan, iaitu PPBM dan Amanah turut menolak hasrat kerajaan yang sedang mempertimbangkan untuk meratifikasi ICERD.

Semalam, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menggesa kerajaan tidak tergesa-gesa meratifikasi ICERD, sebaliknya perlu mendengar pendapat semua pihak sebelum membuat keputusan muktamad.

 



Comments
Loading...