PAS tidak serang BN kerana ia tidak lagi berkuasa, kata Nik Amar


(Bernama) – PAS tidak menyerang Barisan Nasional (BN) kerana mereka bukan lagi sebuah kerajaan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar, yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, tiada guna menyerang pihak yang telah tumbang kerana mereka tidak lagi mempunyai sebarang kuasa.

“Buat apa kita menyerang yang sudah tiada. Semua orang akui BN memang banyak isu rasuah dan kita memang mengkritik (ketika BN masih berkuasa), jadi bila dah jatuh takkan kita nak serang lagi orang yang sudah jatuh.

“Tun Daim (Zainuddin) sendiri dah sebut jangan bangkit kesalahan kerajaan yang lalu, fokus kepada kerja, dan kalau betul pimpinan lama ada isu rasuah, ambil tindakanlah kerana mereka (Pakatan Harapan) kini sudah berkuasa dan bawalah ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Singgahsana Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad yang ke-49 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Istiadat yang disempurnakan Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra itu turut dihadiri Tengku Temenggong Kelantan Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Sempena istiadat berkenaan, seramai 205 menerima Darjah Kebesaran termasuk 5 dilantik sebagai Jaksa Pendamai manakala 397 penerima Bintang, Pingat dan Surat Kepujian akan menerima pengurniaan kehormatan kebesaran negeri pada 4 Mac tahun depan.

Mohd Amar mengulas mengenai dakwaan Presiden Amanah, Mohamad Sabu semalam, yang mempersoal sikap segelintir ahli politik berstatus “lebai” yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh melawan rasuah dan penyelewengan dilakukan pemimpin kerajaan terdahulu dan hanya ghairah mahu membangkitkan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) semata-mata.

Mohd Amar berkata, tindakan wakil rakyat PAS membangkitkan isu LGBT memandangkan ia merupakan isu semasa yang sepatutnya diberi perhatian oleh kerajaan.

“Sekarang ini isunya berkaitan rakyat, berkaitan Islam, dan janji yang tidak ditunaikan. Itu yang kita jadikan fokus dalam Parlimen,” katanya.

 



Comments
Loading...