Mujahid: Bebas beragama tidak bermaksud bebas mempromosi agama bukan Islam


(Bernama) – Kebebasan beragama tidak bermaksud bebas untuk mempromosi mana-mana agama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, perkara ini yang selalu menjadi perdebatan pelbagai pihak walaupun telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Mungkin apa perlu dibincang di sini ialah beberapa perdebatan tentang Artikel 11, iaitu kebebasan untuk beragama cuma dengan kaveat 11(4), tidak boleh promosi, itu isunya yang mungkin jadi perdebatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin tahu reaksi kerajaan mengenai kritikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap penangkapan 50 penganut Syiah di Kelantan baru-baru ini yang menurut mereka menafikan hak Perlembagaan individu terbabit untuk kebebasan beragama.

Mujahid berkata, pihak kementerian terbuka menerima pandangan dan pendapat pelbagai pihak, termasuk Suhakam dalam isu agama.

“Tetapi apa lebih penting selagi tindakan dilakukan itu (penangkapan 50 penganut Syiah) tidak salah di sisi undang-undang negara, maka kita akan pertahankan apa kita telah kuatkuasakan,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) yang mahu tahu pendirian kerajaan terhadap cadangan Tommy Thomas supaya pengharaman 4 buah buku yang ditulis novelis Faisal Tehrani yang didakwa berunsurkan Syiah ditarik balik, Mujahid berkata beliau tidak pasti sama ada itu hanya cadangan atau pandangan biasa Peguam Negara itu.

“Sebagaimana saya kata semua pihak berhak beri pandangan, akhirnya yang akan tentukan ialah perundangan negara dan prinsip-prinsip yang telah diputuskan,” katanya.

 



Comments
Loading...