Perhaps the turbans of the mufti are too tight and not enough oxygen is getting into their brains


(Malaysiakini, 13 March 2001) – Dua rencana dalam akhbar berbahasa Inggeris The Sun yang didakwa “menghina Islam” dilaporkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semalam.

Dalam laporan itu, tulisan sumbangan Akbar Ali itu disifatkan “menghina Islam, mempersendakan ayat suci Al-Quran dan menghina institusi agama Islam” di negara ini.

Tulisan pertama bertajuk ‘Death of apostates unjust’ (Hukuman mati ke atas orang murtad tidak adil) diterbitkan pada 14 Julai 1999, sementara tulisan kedua ‘Now, the mufti blame Hindi film’ (Kini, mufti pula salahkan filem Hindi) diterbitkan 21 Februari lalu.

Tujuh pemimpin Persatuan Ulama Kedah (PUK) membuat aduan itu kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan Jawi.

Ketika dihubungi malaysiakini , pengarah bahagian itu Aziz Mashuri mengesahkan beliau menerima aduan PUK itu pagi semalam.

“Kita akan memanggil individu terlibat (penulis) untuk siasatan,” katanya.

Timbalan Yang Dipertua PUK Niamat Yusoff, yang mengetuai enam anggota jawatankuasa persatuan itu semalam, menggesa penulis itu disiasat di bawah seksyen-seksyen 7, 8 dan 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Kesalahan di bawah seksyen 7 dan 9 iaitu berkaitan menghina Islam dan menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama boleh membawa hukuman denda RM3,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara kesalahan mempersenda-sendakan ayat Al-Quran dan hadis di bawah Seksyen 8 boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Rencana pertama antaranya menyebutkan: ” The following verse from the Quran explains it clearly: ‘Those who believe, then disbelieve, then believe, then disbelieve, then plunge deeper into disbelief God will not forgive then, nor will He guide them to any path’ (Surah 4.137) .

” The Quran allows a person to become an apostate twice and then to persist in his disbelief .

” No punishment of any sort at all is prescribed for such a person other than the promise that God will never forgive him nor guide him to the right path. This is God’s promise. It is his law .”

Menimbulkan kemarahan umat Islam

Menurut Niamat dalam kenyataan kepada malaysiakini hari ini, rencana tersebut mendakwa hukuman bunuh kepada orang Islam yang murtad tidak ada dalam undang-undang Islam, malah penulisnya mendakwa begitu berdasarkan tafsirannya sendiri terhadap ayat 137 surah An-Nisa’.

Pada perenggan ke-10, tulisan yang sama menyebutkan: “… barbaric idea of killing people for their religious convictions .”

Menurut Niamat lagi, penulis mendakwa lagi bahawa hukum bunuh kepada orang murtad adalah zalim dan bersifat ‘ barbarian ‘ (tidak beradab).

Niamat mendakwa rencana kedua itu yang mengupas sikap mufti terhadap isu filem Bollywood bulan lalu “dengan jelas dan sengaja menghina dan mempertikaikan syariat Islam.”

Pada perenggan ke-8, tulisan itu menyebutkan: “Perhaps the turbans of the mufti are too tight and therefore not enough oxygen is getting into their brains. They are not thinking straight.”

Menurut pemimpin PUK, penulis tersebut memperkecilkan dan menghina amalan memakai serban yang diamalkan oleh orang Islam khususnya mufti-mufti yang berkuasa mengeluarkan fatwa di negara ini.

“Beliau (penulis) juga menghina institusi agama iaitu para mufti dengan menganggap bahawa para mufti yang memakai serban adalah orang bodoh dan tidak dapat berfikir dengan baik disebabkan oksigen tidak dapat masuk ke dalam otak yang dibalut dengan serban,” tambahnya.

PUK berpendapat kedua-dua rencana itu “sangat berbahaya” kepada kepercayaan umat Islam dan boleh menimbulkan kemarahan mereka.

 



Comments
Loading...