Anwar gesa rakyat bangkit lawan golongan ‘super’ liberal


(FMT) – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat mempertahankan diri daripada golongan “super” liberal yang disifatkannya berfikiran kolot dan “keparat”.

Presiden PKR itu membidas golongan terbabit yang tidak boleh ditegur atau menerima pandangan pihak lain, tetapi menganggap hanya pandangan mereka penting dan perlu dituruti.

“Golongan ‘super’ liberal ini bicara seolah-olah negara ini dia yang punya dan bila kita tegur, kita pula yang diserang,” katanya dalam Syarahan Negarawan di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.

Katanya, selepas melalui pelbagai penderitaan, beliau masih menerima serangan bertali arus daripada golongan liberal yang tidak gemar caranya terlalu “Melayu” dan Islamik.

“Selepas bergelumang dalam politik sekian lama, derita, (saya) masih terima serangan.

“Nak dekat pilihan raya kecil Port Dickson ini, golongan liberal anggap saya tak boleh dipercayai kerana saya terlalu Melayu dan Islam.

“Nak jadi PM di Malaysia, tidak boleh terlalu ‘Melayu’ dan Islam, ini satu pemikiran yang keparat.”

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat bangkit mempertahankan diri kerana mereka juga mempunyai hak untuk bersuara.

Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil Port Dickson, selepas Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepadanya kembali ke Parlimen dan seterusnya menjadi perdana menteri ke-8.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon dan 13 Oktober ini untuk mengundi.

Ini kali pertama Anwar bertanding di kerusi Parlimen di luar kampung halamannya, Pulau Pinang, di mana beliau pernah mewakili Permatang Pauh sebanyak 2 kali.



Comments
Loading...