LGBT tidak diterima di Malaysia – Tun M


(Astro Awani) – Kerajaan Pusat bertegas bahawa amalan seperti Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT) tidak akan diterima sama sekali di negara ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, konsep kekeluargaan kekal sebagai pasangan lelaki dan wanita yang berkahwin, mempunyai anak, termasuk anak angkat.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di sini hari ini, susulan permintaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya kerajaan mengiktiraf golongan itu di negara ini.

“Tetapi di Malaysia ada perkara tertentu yang kita tak boleh terima, walaupun sekarang boleh dianggap sebagai hak asasi manusia di barat.

“Kita tak boleh terima LGBT, perkahwinan antara lelaki dan lelaki, perempuan dan perempuan. Dan konsep kekeluargaan kita tetap sama, iaitu pasangan lelaki dan wanita, serta anak-anak, termasuk anak angkat,” katanya lagi.

Terdahulu, Dr Mahathir mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra.



Comments
Loading...