Rasa ‘berhak’ kuat dalam keluarga Anwar – Siti Kasim


(Utusan) – Peguam kontroversi, Siti Kasim mendakwa keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai perasaan ‘berhak’ yang kuat.

Pandangan itu dilontarkan Siti Kasim dalam hantaran terbaharu di Facebook beliau hari ini terhadap sebuah artikel dalam talian bertajuk ‘Hormati perjanjian jadikan bapa saya PM – Izzah’.

Siti Kasim berkata, bukan rakyat yang memberikan persetujuan untuk menjadikan bapa Nurul Izzah Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Haaiisshhh … rasa berhak adalah kuat dalam keluarga ini . Persetujuan untuk menjadikan ayah anda Perdana Menteri bukan oleh rakyat Nurul.

“Mungkin jika  merendah diri dan mengatakan sesuatu seperti ‘jika rakyat berasa ayah saya patut diberi peluang untuk menyumbang kepada negara kita, sila undi untuknya’ kedengarannya lebih baik?” kata Siti Kasim.

Dalam artikel tersebut, Nurul Izzah mahu semua pihak menghormati proses peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada bapanya,  Anwar untuk diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, semua parti dalam Pakatan Harapan sudah membuat ketetapan dan perjanjian yang memilih Anwar sebagai Dr. Mahathir.

Siti Kasim sebelum ini menyeru pengundi agar jangan memilih Anwar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang diadakan bagi membolehkan Anwar menjadi ahli Parlimen.

Peguam yang terkenal dengan kelantangannya itu  merasakan ‘Langkah Port Dickson’ mengulangi  ‘rentak’ yang sebelum ini pernah dilakukan keluarga Anwar.

Beliau menyeru para pengundi di Port Dickson supaya memberikan kemenangan kepada pihak pembangkang.

 



Comments
Loading...