Ramai akan ikut Najib ke penjara


A Kadir Jasin

Melakukan perubahan pentadbiran dan memenjarakan seorang bekas Perdana Menteri bukanlah semudah teriakan reformasi dan pangkah kertas undi.

Ia lebih besar dan sukar daripada itu. Janji mudah dibuat tetapi sukar dipenuhi. Reformasi mudah diteriakkan tetapi sukar dilaksanakan.

Inilah realiti politik perubahan – the politics of change.

Rakyat jelata memilih perubahan dengan mengundi Pakatan Harapan walaupun berbagai-bagai halangan dikenakan oleh kerajaan Barisan Nasional. Tetapi kegigihan rakyat jelata mengatasi segala-galanya.

Jadi patutlah rakyat jelata menuntut hak mereka. Hak untuk hidup lebih senang, aman dan tenteram. Sesukar mana pun, janji wajib ditepati.

Sebab itulah kita wajib kritikal dan bertindak tegas terhadap para pemimpin PH, khasnya yang menganggotai Kabinet dan Majlis Kerja Kerajaan Negeri (Exco), jika mereka tidak tekun menjalankan tugas apatah lagi menyeleweng dan mabuk kuasa.

Pemimpin PH wajib diawasi dan ditegur jika ternampak lebih mengutamakan kepentingan diri, kelompok, keluarga, intrigue dan persekongkolan daripada berkhidmat untuk rakyat jelata.

Sekarang adalah waktu bekerja untuk negara dan rakyat jelata bukan untuk berkomplot, memuaskan nafsu dan melakukan intrigue politik.

Serentak dengan mengisi keperluan harian rakyat jelata dan menunaikan janji-janji pilihan raya, mereka juga perlu diberi tunjuk ajar bahawa bukan senang membuat perubahan, mereformasi institusi dan menyumbatkan penjahat ke dalam penjara.

Kita tahu rakyat jelata tidak sabar hendak melihat Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Mohd Najib Abdul Razak dan konco-konco beliau dicampakkan ke dalam penjara. Kalau boleh sekarang juga.

Perbicaraan Makan Masa

Kita wajib ceritakan kepada mereka bahawa Najib dan orang yang bersekongkol dengan beliau akan menerima balasan tetapi bukan esok atau lusa. Proses pengadilan adalah rumit dan memakan masa.

Dua kes awal terhadap beliau iaitu pengubahan wang haram (money laundering) dan penyalahgunaan kuasa bersabit SRC International Sdn Bhd akan hanya dibicarakan tahun depan – antara 12 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac.

Itu penetapan awal. Belum tentu lagi akan ditepati kerana pihak pendakwa dan pembela boleh memohon kepada mahkamah untuk membuat pindaan dan peguam-peguam bela Najib tentulah akan membuat berbagai-bagai helah untuk membebaskan beliau daripada tuduhan.

Kalau kita ambil kes yang melibatkan pemimpin politik iaitu perbicaraan liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai contoh, ia mengambil masa lebih empat tahun (2010-2015) untuk diselesaikan. Beliau didapati bersalah, dipenjarakan selama lima tahun dan mendapat pengampunan di-raja pada 16 Mei lalu.

(Peringatan kepada wartawan dan penggiat media sosial. Setiap kali kes liwat Anwar disebut ia wajib dituruti oleh kenyataan bahawa beliau mendapat pengampunan di-raja. Kalau tidak, mereka boleh dituduh memalukan beliau.)

Justeru itu kita kena faham dan sabar sikitlah jika perbicaraan Najib dan konco-konco beliau mengambil masa yang lama.

Setakat ini baru seorang konco beliau turut dituduh bersabit wang haram 1MDB/SRC iaitu peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Shafee adalah pendakwa raya kes liwat kedua Anwar.

Pada 14 September lalu, laporan media yang memetik Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata siasatan 1MDB mendapati RM2.973 bilion (kira-kira AS$972 juta) masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

Beliau juga berkata, ahli politik ada antara 50 individu yang menerima wang haram tersebut.

Selain kes jenayah yang melibatkan 1MDB/SRC, ada banyak lagi kes rasuah yang telah dan sedang disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini termasuklah kes Felda-FGV, Tabung Haji dan Mara.

Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin, berkata beliau akan memaklumkan kepada SPRM mengenai 91 urusan jual-beli tanah kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang meragukan.

Penjualan besar-besaran tanah milik kerajaan untuk projek swasta adalah antara modus operandi zaman Najib.

Ramai Akan Ke Penjara

Jadi kita bolehlah membuat kesimpulan bahawa banyak lagi konco Najib yang akan menjejaki beliau ke mahkamah dan mungkin berakhir di Sungai Buloh atau penjara-penjara lain di tanah air kita ini.

Tetapi memenjarakan penyamun, penyangak, lanun, perompak dan penyeleweng hanyalah sebahagian sahaja daripada penyelesaian masalah negara.

Boleh jadi hasil daripada pemenjaraan mereka, sebahagian harta negara yang mereka curi boleh diperoleh semula. Ini akan membantu kewangan negara yang dibebani hutang yang melebihi satu trilion ringgit.

Yang tidak kurang penting adalah menyelesaikan masalah harian rakyat jelata seperti kos sara hidup, guna tenaga, pengangguran siswazah, ketidakseimbangan kaum dan banyak lagi.

Kerosakan yang dilakukan oleh pemerintahan kleptokrat Najib begitu menular sehingga boleh dikatakan tidak ada institusi negara – daripada perkhidmatan awam kepada kehakiman, kepolisan, ketenteraan dan istana – yang tidak dicemari.

Menyusun semula dan mereformasi institusi-institusi ini serta perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan dengannya bukanlah mudah.

Benarlah seperti kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, “kita mewarisi kerajaan yang rosak.”  We inherited a broken government.

 



Comments
Loading...