Zuraida mahu Anwar nyata pendirian selepas PD letak jawatan


(FMT) – Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendiriannya selepas seorang wakil rakyat parti itu meletak jawatan untuk membuka laluan kepadanya untuk kembali Dewan Rakyat.

Zuraida dalam kenyataan hari ini menuduh beberapa pemimpin PKR dangkal kerana tidak mengikut saluran betul dalam keputusan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson.

“Saya khuatir, sekiranya proses membuat keputusan tidak dijalankan dengan secara terbuka, telus dan demokratik, ia akan mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat, seolah-olah memperlihatkan PKR dimanipulasi kelompok tertentu,” katanya.

Beliau berkata kepulangan Anwar ke Parlimen sememangnya dinanti-nantikan setiap ahli parti, tetapi keputusan mengosongkan kerusi untuk Anwar sepatutnya ditentukan secara “musyawarah” bagi mendapatkan sokongan seluruh ahli parti.

PKR mempunyai kira-kira 840,000 ahli.

“Saya amat berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan mengumumkan pendirian beliau mengenai perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden Tian Chua mempertikaikan mengapa perbincangan mengenai pengosongan kerusi hanya melibatkan Anwar, penyandang presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden Rafizi Ramli dan beberapa pemimpin lain.

Ahli Parlimen Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan dia menghantar surat peletakan jawatan kepada speaker Dewan Rakyat hari ini. Pakatan Harapan dilaporkan mempunyai persefahaman iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Anwar, selepas tempoh masa tertentu.

Anwar merupakan pilihan pertama gabungan itu untuk jawatan perdana menteri.

Danyal memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan 36,225 undi pada 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi).

 



Comments
Loading...