SPRM tidak perlu terkejut


SAYA turut terkejut apabila SPRM ‘amat terkejut’ dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah. Menurut SPRM dalam nota terkejutnya, keputusan itu diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.

Sebelum ini pun kita telah menyaksikan kes Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang hanya dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM10,000 oleh Mahkamah Rayuan selepas mengetepikan hukuman 18 bulan.

Ia diikuti pula dengan pembebasan ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa daripada tuduhan memuat naik poster palsu yang memaparkan foto Datuk Seri Najib Razak di laman sosial dua tahun lalu.

Seterusnya, ia berlanjutan pada 3 Ogos 2018 apabila ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan aktivis Mandeep Singh dibebaskan oleh Mahkamah Majistret dari pertuduhan menyertai rali ‘kitalawan’ tiga tahun lalu.

Sata tidak ingin menyatakan bahawa keputusan mahkamah itu tidak tepat, tapi itulah trend selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Justeru, apabila Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim Guan Eng, ia sudah dijangka, dan tiada pihak patut terkejut. Kita rakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Kewangan di atas berita gembira ini.

Atau ada lagi selain SPRM turut terkejut?

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan 

 



Comments
Loading...