Kadir Jasin: Suku bilion dibelanja untuk Agong dalam 16 bulan sejak dilantik
Kadir, merujuk kenyataan Anwar baru-baru ini bagi menjelaskan pertemuannya dengan sultan, berkata Anwar nampaknya “bertindak seperti seorang komisar politik. Dalam sistem komunis, komisar politik lebih berkuasa daripada satu batalion tentera.”
(FMT) – Kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong, menurut seorang ahli Jawatankuasa Pembaharuan Institusi di bawah Majlis Penasihat Kerajaan.
Menerusi catatan dalam blog peribadinya yang menurutnya tidak mewakili pandangan Majlis Penasihat Kerajaan dianggotainya, Datuk A Kadir Jasin berkata, purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian Agong, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara serta gaji kakitangan istana.
Kadir berkata, jumlah yang dibelanjakan untuk perbelanjaan Agong menunjukkan raja Melayu tidak memerlukan jaminan kedudukan mereka tidak terjejas.
Ini susulan kenyataan bakal perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pertemuan dengan beberapa sultan baru-baru ini bertujuan meyakinkan mereka mengenai komitmen PH untuk mempertahankan institusi raja.
“Saya tidak berani kata raja-raja tidak begitu yakin dengan kedudukan mereka sehingga mereka perlu diberikan jaminan dan ditenangkan,” tulis Kadir yang pernah mengetuai media utama kerajaan terdahulu, New Straits Times Press.
“Sebaliknya, saya rasa raja-raja yakin seperti sebelum ini. Mengapa tidak? Mereka dijamin oleh Perlembagaan, diberikan kemewahan, kaya dan Anwar pun mencium tangan mereka!”
Sejurus dibebaskan dari penjara bulan lalu, Anwar mengadakan satu siri perjumpaan dengan raja Melayu.
Dalam satu wawancara dengan badan pemikir dikaitkan PKR, Invoke Malaysia baru-baru ini, Anwar berkata, pertemuan itu ialah sebahagian usaha untuk memperkukuhkan hubungan kerajaan baru dan raja.
“Setelah 60 tahun, ini kali pertama raja-raja berdepan dengan kerajaan berbeza,” kata Anwar.
Tetapi Kadir, merujuk kenyataan Anwar baru-baru ini bagi menjelaskan pertemuannya dengan sultan, berkata Anwar nampaknya “bertindak seperti seorang komisar politik”.
“Dalam sistem komunis, komisar politik lebih berkuasa daripada satu batalion tentera.”
Kadir berkata, walaupun penghapusan imuniti undang-undang dalam kapasiti peribadi mereka, raja masih dihormati, dengan sebuah mahkamah khas ditubuhkan untuk mendengar dakwaan salah laku kerabat diraja.
“Kesimpulannya, raja berperlembagaan kita tidak perlu takut jika mereka memahami kedudukan istimewa mereka dan menjalankan tanggungjawab mereka seperti diperuntukkan Perlembagaan.
“Rakyat harap mereka mewakili semua perkara baik dan suci.”