Rafizi akui padam tuduhan terhadap Rahman, tapi tidak minta maaf
(Malaysia Gazette) – Tiada permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berhubung fitnahnya terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Sebaliknya, beliau hanya memaklumkan pihaknya telah memadamkan bahan (posting) yang mengaitkan Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif PICO Integrated Exhibit Sdn. Bhd., Noor Raslan Md. Dahlan mempunyai pertalian darah.
“Sejurus selepas sidang media saya semalam, saya ada maklumat baharu bahawa (Noor) Raslan Dahlan bukanlah abang kepada (Abdul) Rahman Dahlan.
“Oleh kerana itu, kami telah memadamkan sebarang bahan yang mengaitkan mereka mempunyai pertalian darah,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Lake Field, Sungai Besi, di sini, hari ini.
Tengah hari kelmarin, Rafizi telah membuat sidang media di Facebook beliau menggunakan Live FB.
Beliau mengumumkan beberapa perkara dan turut meminta Abdul Rahman untuk menjawab beberapa persoalan berbangkit mengenai Ekspo Negaraku yang sedang berlangsung di ibu negara ketika ini.
Dalam Live FB itu Rafizi bertanyakan mengenai kos penganjuran dan mengaitkan penganjuran ekspo berkenaan sebagai propaganda politik oleh pihak tertentu bagi mendapatkan sokongan.
Selain itu, beliau turut mendedahkan Raslan Dahlan, syarikat yang diberikan tender kontraktor untuk melaksanakan ekspo tersebut adalah abang kandung Abdul Rahman.
Namun, selepas beberapa ketika, Rafizi bagaimanapun secara tiba-tiba telah memadamkan live fb berkenaan dan ia tidak lagi boleh diakses secara online.
Sementara itu, Abdul Rahman menyangkal dakwaan Naib Presiden PKR itu bahawa kontrak pelaksanaan Ekspo Negaraku 2017 diberikan kepada ‘abangnya’, Noor Raslan.
“Menerusi sidang media di laman sosial ‘Facebook Live’ pada 1.30 petang ini (kelmarin), Rafizi sebanyak sembilan kali mengulangi dakwaan bahawa pemberian tender diberikan kepada abang saya iaitu Raslan Dahlan.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Rafizi Ramli dan saya tegaskan, saya tidak mempunyai apa-apa hubungan persaudaraan dengan saudara Raslan Dahlan…beliau bukan abang saya walaupun kami berkongsi nama bapa yang sama,” katanya dalam sidang media khas yang turut dihadiri Noor Raslan di sini, semalam.
Pada sidang media secara Live FB petang ini, Rafizi turut menyindir netizen yang meninggalkan komen mengutuk beliau kerana suka memfitnah pemimpin parti lawan.
“Kepada macai maya yang sedang maki hamun di facebook, saya minta teruskan kerana saudara saudari tidak cerdik…dia tidak tahu bahawa lagi banyak dia maki hamun, dia lagi menaikkan rangking dan viraliti kepada posting saya ini.
“Jadi silakan buat kerja, kerana anda dibayar oleh (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) untuk menaikkan lagi posting saya. Terima kasih,” katanya.