Pemilihan semula CEC DAP didakwa penuh ‘muslihat kotor’
(Malaysia Gazette) – Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang diadakan semula pada Ahad lepas didakwa penuh muslihat kotor dan tidak mengikut lunas perlembagaan parti itu sendiri.
Justeru itu, sekumpulan ahli dan bekas ahli DAP yang tidak bersetuju dengan proses CEC parti itu berura-ura untuk menyaman khidmat perunding Grant Thornton yang telah digunakan untuk menjalankan pemilihan DAP.
Tindakan saman itu untuk membatalkan keputusan pemilihan semula CEC yang didakwa penuh manipulasi dan tidak telus.
Selain itu, beberapa pemimpin utama juga akan berdepan dengan tindakan saman daripada ahli-ahli DAP kerana yakin pemilihan yang dijalankan itu tidak telus malah wujud unsur manipulasi didakwa telah mengambil tempat dalam pemilihan tersebut.
Menurut Ketua Cawangan DAP Bangan Luar, A. Ashogan bersama sekumpulan ahli yang masih berada dalam parti dan yang sudah dipecat dan keluar parti telah mengambil keputusan untuk menyaman Grant Thornton dan DAP bagi mendapatkan keadilan.
“Kepimpinan tertinggi yang ada kini terutamanya dinasti anak beranak Lim ini membuat keputusan sesuka hati mereka. Pemilihan CEC yang dijalankan sebenarnya mengundang pelbagai persoalan yang mencurigakan.
“Antaranya, ketika undian dan pengiraan undi, kita tidak dibenarkan melihat proses pengiraan sebaliknya di lakukan dalam sebuah bilik tertutup. Selama empat jam mereka melakukan pengiraan undi.
“Kedua, Pendaftar Pertubuhan (ROS) ketika mengeluarkan perintah mengadakan pemilihan semula CEC, secara terang-terangan telah memberitahu mana-mana perwakilan yang telah dipecat atau meninggalkan parti selepas tahun 2012 boleh mengundi pada pemilihan kali.
“Peliknya, DAP telah menafikan hak kesemua bekas-bekas ahli ini malah tidak memberi sebarang jemputan bagi menghadiri pemilihan kali ini. Mengapa DAP buat keputusan sesuka hati? Adakah kerana ianya parti anak beranak?
“ROS juga telah menetapkan masa 14 hari sebelum pemilihan untuk menyiarkan nama-nama calon yang bertanding dalam media cetak dan elektronik serta laman sesawang namun DAP tidak berbuat demikian.
“Tidak cukup dengan itu, ketika proses mengundi, mereka juga tidak membenarkan wakil untuk mengundi dengan menulis nama calon sebaliknya hanya menulis nombor calon. Bagaimana begitu? Kertas undi itu juga tiada nombor siri. Wakil boleh menulis 20 nombor calon yang mereka mahu.
“Bilik undian juga di tutup. Walaupun dengan megah DAP mendakwa mereka telus dengan memilih sebuah firma antarabangsa bagi memantau proses undian, saya tidak nampak mana-mana wakil ‘orang putih’ di situ,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Jelas Ashogan, pemilihan semula ini langsung tidak mengikut lunas perlembagaan sebaliknya dilakukan sesuka hati oleh dinasti Lim.
“Kerana itu, kehadiran perwakilan kali ini juga merosot. Hanya seramai 1,356 atau 53.94 peratus hadir mengundi berbanding 2,514 angka sebenar. Rata-rata yang tidak hadir ini adalah perwakilan yang telah dinafikan hak oleh ‘dinasti anak beranak’,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao pula mendakwa pihaknya akan membantu menyediakan khidmat guaman kepada mana-mana ahli DAP yang mahu menyaman parti itu berhubung pemilihan semula itu.
“Saya sendiri telah dihubungi oleh beberapa ahli DAP termasuk yang mempunyai jawatan dalam parti tersebut. Rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan pemilihan kali ini.
“Pada mereka apa yang berlaku sebenarnya tidak mengikut lunas undang-undang parti. Ketika ini, peguam kita sedang meneliti kes ini. Pada masa yang sama, kami juga telah mengaturkan pertemuan dengan ROS bagi mendapatkan khidmat nasihat berhubung aduan ini.
“ROS perlu meneliti semua aduan yang telah dibuat kerana sekali lagi DAP tidak mematuhi arahan yang diberikan sebaliknya membuat pemilihan semula sesuka hati,” tegasnya.