SPRM minta Syed Saddiq buat laporan


(Utusan Online) – Ketua Ang­katan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar berlaku sogokan wang supaya melepaskan jawatannya.

Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai rasuah atau salah guna kuasa perlu melaporkan kepada pihaknya sebelum dapat dilakukan siasatan dan diambil tindakan.

“SPRM tidak tahu semua perkara yang berlaku di negara ini, kita bukan Superman.

“Orang ramai tidak boleh anggap kami tahu semuanya, maklumat kami dapat daripada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama 310 warga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Ibu pejabat Nafas, Kota Damansara dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Seri Saipolbahari Suib serta Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang dan Pendaftar Pertubuhan Peladang, Datuk Salim Taha.

Syed Saddiq sebelum ini mendakwa terdapat usaha untuk mengeluarkannya daripada PPBM dengan tawaran sebanyak RM5 juta.

Sementara itu, Shamshun Baharin memberitahu, mana-mana agensi yang telah melakukan IBR akan memudahkan mereka untuk mendapatkan persijilan Malaysia Standard (MS) 37001 (Sistem pengurusan antirasuah) yang sedang diusahakan bersama Jabatan Standard.

Menurutnya, mengikut pe­ran­ca­ngan, SPRM akan bertindak sebagai pemilik untuk persijilan tersebut yang akan dilancarkan pada akhir bulan ini selepas mendapat kelulusan menteri.

“Di peringkat an­tarabangsa, ISO 37001 sudah diwujudkan pada Oktober tahun lalu.

“MS 37001 membolehkan syarikat atau agensi komited menghalang sebarang salahguna kuasa atau rasuah dalam institusi masing-masing sebelum Akta Lia­biliti Korporat dikuatkuasakan,” katanya.

 



Comments
Loading...