Jenayah Intelek Terhadap Allahyarham Tok Guru Nik Aziz
1. Semalam PAN mengadakan seminar pemikiran Tok Guru Nik Aziz. Tujuannya ialah untuk menggambarkan parti yang mereka tubuhkan daripada serpihan PAS adalah selaras dengan pemikiran dan direstui Allahyarham Tok Guru.
2. Ini merupakan satu ‘manipulasi terhadap pemikiran seorang yang telah tiada di dunia ini’. Tok Guru tidak ada kena mengena dengan parti tersebut. Malah Tok Guru terus istiqamah bersama PAS sehingga ke akhir hayatnya. Tok Guru tidak pernah menyeru sesiapa untuk keluar daripada PAS. Itu adalah fakta semasa hayat beliau.
3. Setiap orang berhak mengkaji pemikiran sesiapa pun termasuk pemikiran seorang tokoh yang telah meninggal dunia. ‘Tetapi kita tiada hak menisbahkan sesuatu kepada seorang yang tidak pernah memperkatakannya’.
4. Kaedah Fiqh menyatakan
لا ينسب قول لساكت
“tidak dinisbahkan satu ungkapan pada seorang yang diam.”
Berdasarkan kaedah ini tindakan PAN adalah satu jenayah intelek terhadap nama baik Allahyarham Tok Guru Nik Aziz.
5. Pelbagai andaian dibuat dan direka lalu dinisbahkan kepada seorang yang telah tiada di dunia ini.
6. Ia adalah satu penipuan, cerita rekaan dan pembohongan yang sangat nyata dan keji.
7. Cerita rekaan ini disebut dalam istilah hadis Nabi sebagai _”buhtan”_ atau cerita rekaan dan pembohongan yang jelas haram hukumnya.
8. Antara isi Baiah Aqabah yang pertama antara Nabi saw dan para Sahabat dari Yathrib 2 tahun sebelum Hijrah ialah
وَلَا تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ
“Dan kamu berbaiah (beraku janji) untuk tidak mendatangkan satu (buhtan) cerita rekaan yang kamu reka di kalangan kamu.”
(Hadis Sahih Bukhari)
9. Kata tokoh Ulamak Ali al-Qari (meninggal tahun 1014 H) dalam Mirqah al-Mafatih ketika menghuraikan maksud Baiah di atas: “janganlah kamu menisbahkan cerita rekaan itu kepada seseorang berasaskan sangkaan yang rosak.”
10. Seminar ini telah mencipta pelbagai cerita rekaan dan andaian berasaskan sangkaan yang rosak dan salah lalu dinisbahkan kepada batang tubuh Tok Guru Nik Aziz yang telah pergi ke rahmatullah dan tentu Allahyarham tidak boleh menjawap bagi menafikannya.
Sekian
Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus