Persepsi negatif terhadap pembangkang perlu diruntuhkan untuk raih sokongan majoriti Melayu – Mohamad Sabu
(Roketkini.com) – Pakatan Harapan-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu menumpukan usaha bagi membuktikan kemampuan mereka mentadbir Putrajaya kepada pengundi Melayu.
Ini kerana, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, meskipun terlalu banyak isu yang telah disuarakan mengenai kemelesetan ekonomi negara, pakatan pembangkang masih tetap tidak diyakini pengundi kaum majoriti itu.
“Isu terlalu banyak, sampai nak muntah. Semua orang tahu (Datuk Seri) Najib (Razak) jahat.
“Tapi mereka tidak yakin apa yang akan jadi dan apa pembangkang akan buat untuk mereka sekiranya Barisan Nasional kalah dalam PRU akan datang,” ucapnya dalam Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia anjuran DAP dekat sini, hari ini.
Katanya, manifesto pakatan pembangkang sebelum ini yang mahu meringankan beban rakyat melalui antaranya, cadangan penghapusan tol, tidak berjaya menarik minat kaum melayu ekoran persepsi negatif mereka terhadap pembangkang.
Tambahnya, agenda ‘ketuanan Melayu’ yang menebal ditanam UMNO mengakibatkan kaum itu hilang keyakinan terhadap mana-mana pihak yang cuba untuk mengantikan parti pemerintah berkenaan, sekaligus menyukarkan usaha pembangkang untuk mengubah persepsi mereka.
“Dalam masa yang singkat bukan senang nak buang persepsi ini. kita kena beritahu bahawa kita mahu menyelamatkan rakyat dan negara. Kita kena melawan dengan satu keyakinan, jika berlaku perubahan, malaysia selamat.
“Rakan-rakan DAP juga kena membantu. Persepsi ketuanan Melayu dibina (Tun Dr.) Mahathir (Mohamad) cukup lama,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah berkata, Pakatan Harapan-PPBM harus ada kemahuan dan kerendahan hati untuk mendekati rakyat bagi memperjelaskan agenda menyelamatkan negara.
“Kita mesti beri kepercayaan, apa yang penting adalah kejujuran jaga amanah. Mari kita bersama selamatkan negara kita, apa yang lepas biarkan berlalu, apa yang ada pada masa depan kita laksanakan,” ujarnya.