Tembelang hipokrasi DAP kian terdedah
DAP semakin menyerlahkan dua wajahnya dalam satu-satu perkara dihadapi dengan bersikap hipokrit, talam dua muka demi mengaut kepentingan kiri dan kanan. Inilah politik oportunis dan pragmatik yang hanya memikirkan agenda peribadi semata-mata.
Cara dan gaya sebegini tentulah tidak bertujuan menjadikan wadah politik untuk memenuhi harapan dan sandaran rakyat, tetapi bermotif mengaut peluang demi kedudukan dan kuasa. Sudah pasti watak DAP ini sukar untuk dipercayai dan terdedah kepada kecurangan serta pengkhianatan.
Malah, DAP telah berkali-kali dibidas anggota parti sendiri secara terbuka dan menyanggah prinsip yang berubah-ubah dan dilihat tidak telus. Ini sebagaimana terbaru oleh Adun Bilut, Chow Yu Hui membidas himpunan berhubung bantahan ke atas Presiden Amerika, Donald Trump yang melarang kemasukan Muslim dari tujuh negara.
Sedangkan DAP sendiri pernah mempersoal pihak yang membantah kemasukan atlet luncur air Israel pada Kejohanan Luncur Air di Langkawi tahun 2015 dahulu. Malah, DAP pernah dipertikai juga oleh bekas pimpinannya seperti Tunku Abdul Aziz, Hew Kuan Yaw dan Janice Lee dalam banyak aspek dan perkara.
Kepura-puraan DAP ini bukan perkara baharu apabila segala tembelang mulai pecah setelah segala yang diperjuangkan selama ini hanyalah topeng dan lakonan. Misalnya perjuangan berkaitan alam sekitar seperti Lynas, tetapi DAP di Pulau Pinang sendiri mengemukakan projek pengangkutan yang memusnahkan alam sekitar negeri itu.
Begitu juga soal integriti yang tegas dipegang selama ini, akhirnya tercalar oleh dakwaan skandal rasuah melibatkan pemimpin tertinggi. Pemerintahan ala Khalifah Umar Abdul Aziz yang dicanang-canang, akhirnya menjadi sebaliknya hingga membawa kepada pelbagai cemuhan.
Begitu juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang pernah lantang menyerang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu dalam isu Bumiputra Malaysia Finance (BMF), namun hingga kini gagal menyatakan pendirian dari pendedahan terbaharu CIA. Apakah kerana kemesraan terbaru dan berlaku janji tawar menawar yang lumayan antara mereka berdua?
Politik jelik dimainkan DAP ini amat perlu diwaspada dan dihindari masyarakat Malaysia di sebalik kewujudan penjajahan licik politik global masa kini. Mereka begitu mudah berpaut dan memanipulasikan sesiapa sahaja tanpa ada perasaan malu dan menjaga maruah, selain acap kali berhubungan dengan pihak negara asing.
NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Timbalan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan