JAIJ Akan Panggil Muhyiddin Dalam Masa Terdekat


Muhyiddin Nika

(KLX) – Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) akan memanggil Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan terlibat dalam skandal dengan seorang wanita.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dipanggil dalam masa terdekat oleh Bahagian Penguatkuasaan JAIJ setelah pihaknya menyerahkan semua dokumen berkaitan kes berkenaan kepada jabatan tersebut hari ini.

“Saya difahamkan oleh Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIJ, Shaiful Najib Hassan bahawa beliau akan panggil (Muhyiddin) kerana telah menerima beberapa dokumen dan bukti daripada pihak JMM untuk beliau cukup syarat memanggil Tan Sri Muhyiddin.

“Fail berkaitan kes ini juga telah dibuka dan diteliti dan pihak kami akan bantu untuk salurkan segala dokumen dan bukti. Justeru, JAIJ akan panggil Tan Sri Muhyiddin untuk bantu siasatan dalam masa terdekat,” katanya yang hadir untuk memberi keterangan dan menyerahkan dokumen dan bukti mengenai kes tersebut di Bahagian Penguatkuasaan JAIJ, di sini sebentar tadi.

Azwanddin tiba di pejabat Bahagian Penguatkuasaan JAIJ pada pukul 10.45 pagi dan meluangkan masa selama setengah jam bertemu Shaiful Najib.

Pada 2 September tahun lalu, Azwanddin menggesa Muhyiddin memfailkan saman terhadap peguam, Stanley Clement Agustin dan bekas isterinya, Datuk Nika Gee Siew Yee kerana melibatkan nama bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam kes perceraian berprofil tinggi pasangan berkenaan.

Terdahulu pada 2 Jun tahun lalu, penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin melalui portal Malaysia Today, www.malaysia-today.net mendakwa, seorang lelaki membuat Akuan Bersumpah (SD) berhubung skandal antara Muhyiddin dan iste­rinya.

 



Comments
Loading...