Isu BNM : Shahrizat Persoal ‘Kebisuan’ Kit Siang
(Utusan) – Pergerakan Wanita UMNO mempersoalkan tindakan Lim Kit Siang yang hanya memilih untuk berdiam diri berikutan pendedahan bekas Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak AS$10 bilion (RM44 bilion) melalui kegiatan perdagangan mata wang asing.
Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tindakan Penasihat DAP itu menimbulkan tanda tanya sedangkan beliau merupakan individu yang paling lantang mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada ketika itu untuk menyiasat kerugian berkenaan melibatkan sejumlah besar wang negara itu.
“Setelah isu ini kembali menjadi isu rakyat selepas pendedahan yang dilakukan Datuk Abdul Murad, Kit Siang seolah-olah memilih untuk membutakan mata dan memekakkan telinga malah membisu seribu bahasa.
“Apakah Kit Siang takut jika beliau meneruskan desakan RCI terhadap isu ini, maka agenda politik peribadi beliau untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan tergugat?” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat pergerakan itu, di sini hari ini.
Abdul Murad baru-baru ini mendedahkan BNM mencatatkan kerugian tersebut melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, jauh lebih besar daripada jumlah yang dilaporkan bank pusat tersebut.
Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion sahaja akibat kegiatan itu, sedangkan angka sebenar adalah jauh lebih besar.