Apa pendirian PAS tentang langkah terbaru Amerika menghalang pelarian dan immigeran Muslim?
Parti Islam Se Malaysia (PAS) sebelum ini dikenali begitu lantang mengkritik dasar dan tindakan kerajaan Amerika khusus berkaitan dengan isu umat Islam. Yang terbaru, selepas Donald Trump mengambil alih kepimpinan Amerika, beliau telah mengeluarkan Arahan Eksekutif untuk menyekat kemasukan pelarian dan immigeran dari luar terutama dari 7 negara Dunia Islam. Dasar ini telah mendapat kritikan banyak pihak di dalam dan di luar Amerika. Jadi apa pula pendirian PAS?
Berhubungan dengan perkara ini, yang jelasnya PAS dilihat tidak menyertai demonstrasi anjuran Pakatan Harapan (PH), yang dikatakan bertujuan untuk menentang dasar baru yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump beberapa hari lepas. Berkaitan dengan dasar baru tersebut, pelbagai pihak meyakini PAS sudah tentu meneliti secara serius dengan mempertimbangkan sejauh mana dasar tersebut menzalimi dan mendiskriminasikan umat Islam di luar dan di dalam negara kuasa besar itu.
Sebenarnya ramai pemerhati melihat Arahan Eksekutif yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump masih belum jelas butiran dan kesannya, berkemungkinan atas sebab itulah PAS melihat penganjuran demonstrasi menentang tindakan terbaru kerajaan Amerika itu masih terlalu awal. Sekiranya selepas penelitian kelak, memang jelas dasar tersebut menzalimi dan mendiskriminasikan umat Islam, PAS dipercayai tidak akan teragak-agak menghantar nota bantahan keras termasuk menganjuran bantahan awam.
Serangan yang kuat terhadap Presiden Donald Trump oleh media-media Amerika yang dikuasai pihak berkepentingan Zionist khususnya tentang Dasar Perlarian dan Immigeran tersebut, memperlihatkan berlakunya konflik politik dalaman yang meruncing pasca Pilihanraya Presiden Amerika baru-baru ini. Dengan sebab itu, sewajarnya mana-nana pihak mengambil sikap berhati-hati untuk menerima bulat-bulat laporan media-media Amerika yang mengulas isu tersebut, meskipun ia telah membentuk persepsi global yang negatif terhadap Donald Trump.
Selaras dengan pendekatan politik PAS yang matang dan sejahtera, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) diwarwarkan akan menghantar deligasi ke Kedutaan Amerika pada hari ini (2 Februari 2017), untuk mendapat penjelasan lanjut dari pihak berautoriti negara itu tentang dasar baru yang diperkenalkan. Selain daripada pertemuan itu, wajar juga PAS meneliti sumber-sumber media alternatif yang lain berkaitan dengan isu Dasar Perlarian dan Immigeran ini. Semua pihak kini sedang menunggu pendirian rasmi PAS terutama selepas pertemuan dengan pihak kedutaan diadakan.