Adakah benar Order Eksekutif Trump sebagai ‘Muslim Ban’
DARI SUDUT LAIN
Masyarakat antarabangsa sekali lagi gawat apabila presiden baharu Amerika, Donald J Trump mengeluarkan satu order eksekutif berkait dengan polisi imigran. Kebanyakan media menggunakan istilah ‘muslim ban’ (sekatan kepada orang Islam) merujuk kepada order ini. Perkara ini mendatangkan kemarahan bukan sahaja umat Islam dan seteru politik Trump daripada parti Demokrat, bahkan sebahagian dari ahli parti Republikan yang diwakili Trump juga turut menyatakan bantahan.
Adakah benar semua dakwaan ini? Untuk mengetahuinya, pertama sekali kita perlu membaca keseluruhan isi order eksekutif supaya persepsi kita tidak dipengaruhi naratif media yang sememangnya berperanan untuk membentuk pemikiran awam mengikut acuan yang dikehendaki.
Lihat order eksekutif:
http://edition.cnn.com/2017/01/28/politics/text-of-trump-executive-order-nation-ban-refugees/
Terdapat beberapa bahagian dalam order eksekutif itu yang menimbulkan polemik. Antaranya:
Seksyen 3 (a):
Membekukan kemasukan warga 7 negara mengikut senarai 217(a)(12) Immigration and Nationality Act of 1965 (iaitu Iraq, Syria, Iran, Yaman, Somalia, Sudan dan Libya) selama 90 hari, bagi tujuan mengkaji semula proses pemberian visa. Pembekuan dikecualikan kepada mereka yang memegang visa diplomatik, visa NATO, visa C-2, G-1, G-2,G-3 dan G-4.
Seksyen 5 (a):
Membekukan program pengurusan pelarian Amerika Syarikat (USRAP) selama 120 hari bagi tujuan penambahbaikan proses kemasukan pelarian.
Seksyen 5 (b):
Selepas tempoh pembekuan USRAP, penerimaan pelarian haruslah diberi keutamaan kepada individu yang diancam penindasan agama, mengikut kategori agama minoriti di setiap negara.
Seksyen 5 (c):
Kemasukan warganegara Syria sebagai pelarian dibekukan sehingga ke suatu masa yang akan ditetapkan oleh saya (Trump).
Seksyen 5 (d):
Kemasukan lebih dari 50000 pelarian bagi tahun fiscal 2017 akan dibekukan sehingga ke suatu masa yang akan ditetapkan oleh saya (Trump).
Daripada arahan eksekutif ini, kita boleh merumuskan beberapa perkara:
1. Pembekuan dan pelarian adalah bersifat sementara, iaitu 90 hari kepada imigran dan non-imigran dari 7 negara dan 120 hari kepada pelarian. Ini bukan bersifat kekal sebagaimana yang cuba digambarkan media. Memandangkan Trump baru sahaja menjawat jawatan Presiden, banyak perkara berkait pentadbiran Amerika yang belum beliau fahami. Justeru tindakan tersebut boleh dikira wajar bagi seorang ketua negara yang bimbangkan ancaman pengganas seperti IS masuk ke dalam negara mereka.
2. Tujuh negara yang disenaraikan bukan dicipta oleh Trump, sebaliknya ia telah tersedia dalam peruntukan Akta Imigrasi dan Warganegara AS sejak dahulu lagi.
3. Migran yang sudah berada di Amerika dan pemegang visa tertentu tidak diusir keluar dari Amerika. Mereka kekal berada di AS menjalani kehidupan seperti biasa.
4. Orang Islam dari negara selain dari tujuh yang disenarai bebas keluar masuk seperti biasa, mengikut undang-undang dan polisi sedia ada.
5. Tidak ada satu perkataan pun dari order eksekutif itu yang menyatakan ‘Muslim ban’. Ia hanyalah propaganda dari media anti-Trump.
6. Berhubung sekatan tanpa had masa ke atas warganegara Syria, sebagai sebuah negara bukan Islam dan pernah digugat dengan tragedi 11 September, ia boleh dikira wajar memandangkan negara tersebut kini menjadi tempat berkumpulnya pelbagai kumpulan radikal. Bahkan Malaysia turut mengetatkan prosedur imegeresen terhadap warganegara Syria dan Yaman berbanding negara lain.
7. Pengehadan 50000 pelarian setahun mungkin agak melampau. Tetapi polisi ini sebenarnya hanya mengekalkan purata penerimaan pelarian dari era dua presiden sebelumnya iaitu George W. Bush dan Barack Obama. Dua tiga tahun fiscal terakhir Obama juga direkodkan menerima pelarian sekitar 50000 orang.
8. Ahli politik dari parti Demokrat mengutuk tindakan Trump berhubung pelarian Syria. Sedangkan ketika democrat berkuasa di zaman Obama, penerimaan pelarian Syria sejak krisis tahun 2011 hingga 2015 hanyalah pada kadar 29, 31, 36, 105 dan 1682 orang. Hanya beberapa bulan sebelum tempoh pentadbiran Obama berakhir, barulah beribu-ribu orang Syria diterima.
9. Beberapa kumpulan liberal menuduh tindakan Trump mengutamakan penerimaan pelarian mengikut agama sebagai satu diskriminasi. Sedangkan di dalam undang-undang Amerika sendiri, menetapkan bahawa agama menjadi salah satu perkara yang perlu dinilai dalam proses pemberian visa. Boleh baca lanjut pada pautan ini: http://www.nationalreview.com/corner/427262/refugee-religious-test-shameful-and-not-american-except-federal-law-requires-it-andrew
Lagi fakta di:
https://www.uscis.gov/ilink/docView/SLB/HTML/SLB/act.html