Pelawaan kerjasama DAP mahu lemahkan PAS


Ahmad Yakob

(Harakah) – Tidak lama selepas menawar bagi mengadakan semula hubungan dengan PAS, DAP dilapor bersedia pula untuk berjumpa dengan MCA dan Gerakan.

Sedangkan sebelum ini ketika pemimpin PAS dan Umno berada sepentas bagi memperjuangkan isu sejagat, pemimpin PAS dituduh mahu bekerjasama dengan Umno.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, jemputan DAP untuk bekerjasama semula dengan PAS dianggap tidak ikhlas.

“Saya rasa mereka ada strateginya sendiri walaupun matlamatnya menentang Barisan Nasional dan Umno sama dengan kita (PAS).

“Tujuannya untuk melemahkan kita,” katanya ketika diminta mengulas  jemputan veteran DAP Lim Kit Siang untuk bekerjasama semula dengan PAS.

Menurut Lim keutamaannya kerjasama itu dalam usaha menyelamatkan Malaysia daripada amalan rasuah yang sedang berleluasa.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS mempunyai pengalaman kerjasama dengan DAP dalam gabungan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, kedua-duanya terkubur selepas parti “chauvinist” itu menentang hasrat PAS untuk memperkasakan perundangan Islam.

“Saya merasakan ‘salam perdamaian’ yang dihulurkan Pengerusi DAP itu sebagai salah satu usaha melemahkan PAS.

“Mereka juga berterusan menentang pindaan Akta 355 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah melalui usul persendirian dibawa ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” katanya.

 



Comments
Loading...