RUU355 BUKAN SETAKAT MENAIKTARAF MAHKAMAH SYARIAH, BAHKAN MEMBAIKPULIH KELUHURAN PERLEMBAGAAN
Alang Ibn Shukrimun
Menarik juga tulisan Raja Petra bertajuk ‘RUU355 IS PERFECTLY CONSTITUTIONAL‘. Dia menjawab beberapa persoalan yang sengaja ditimbulkan oleh para penentang usaha ini supaya mereka yang tidak celik undang-undang dan perlembagaan Malaysia meragui usaha ini.
Memandangkan tulisan tersebut dalam Bahasa Inggeris dan agak panjang, saya cuba simpulkan dengan beberapa penambahan seperti berikut:
1. Persoalan pertama ditimbulkan adalah RUU355 boleh mewujudkan situasi dual-legal system ataupun sistem dua undang-undang di Malaysia.
Sebenarnya, sistem dua undang-undang telah wujud sebelum Malaysia ini ditubuhkan lagi! Bahkan, Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 ditubuhkan atas persetujuan membahagikan dua set undang-undang antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Apabila mencapai kemerdekaan tahun 1957, dan juga setelah tertubuhnya Malaysia tahun 1963 hinggalah sekarang, sistem ini masih kekal sebagaimana dahulu!
2. Persoalan kedua adalah RUU355 ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sebenarnya, ia langsung tidak bertentangan malah selari! Ini kerana sebagaimana yang termaktub dalam jadual kesembilan perlembagaan, kerajaan persekutuan hanya berkuasa dalam bidang tertentu seperti keselamatan, pendidikan, kesihatan, petahanan, urusan luar negara dan beberapa yang lain. Negeri pula masih memiliki kuasa eksklusif melibatkan soal agama, tanah dan hasil mahsul, air, tradisi dan beberapa yang lain.
Maka RUU355 adalah urusan agama yang berada di bawah kuasa negeri. Kerajaan persekutuan tidak berhak mengganggu perkara ini melainkan sekiranya undang-undang tubuh atau enakmen peringkat negeri bercanggah dengan bidang kuasa persekutuan.
3. Apa yang menarik menurut pandangan RPK ialah, jika persekutuan menyekat hak negeri ini, maka negeri boleh membuat keputusan untuk keluar dari persekutuan Malaysia, sebagaimana yang telah Singapura lakukan. Walaupun kita bukan mahu menuju ke arah itu, tetapi harus disedari bahawa kuasa negeri masih wujud dan kuat sehingga kini walaupun dibayangi kekuasaan kerajaan persekutuan.
4. RPK memberi contoh yang agak menarik. Ketika minyak dijumpai di Terengganu tahun 1972, kerajaan lekas merangka akta petroleum sehingga digazetkan tahun 1974. Secara asasnya petroleum adalah hak kerajaan negeri mengikut jadual kesembilan. Tetapi dengan akta tersebut, hak negeri cuma beroleh petroleum (kalau tak silap 5%). Tanpa akta ini, Terengganu hari ini sudah menikmati 100% hasil petroleumnya! Mungkin juga Menara Berkembar Petronas sudah berada di Paka ketika ini!
Maka dalam perkara agama Islam, tiada sebarang akta yang menetapkan urusan Islam ditadbir oleh persekutuan. Yang ada hanya akta mahkamah syariah bidang kuasa jenayah atau dikenali sebagai akta 355. Akta ini sekadar menetapkan had hukuman yang boleh diambil dalam kesalahan syariah. Di samping itu ada beberapa lagi akta tetapi tidaklah sampai agama Islam menjadi urusan mutlak kerajaan persekutuan.
5. Sebagaimana akta petroleum, akta 355 adalah suatu akta yang sebenarnya mengganggu maksud perjanjian persekutan yang dimeterai sejak dahulu. Justeru usaha RUU355 bukan sahaja satu projek menaiktaraf mahkamah syariah, tetapi juga sebuah projek mengembalikan keluhuran perlembagaan agar ianya benar-benar mengikut roh yang sebenar.
Syabas RPK! Tulisan anda sangat membuka minda!
Telegram:
http://tinyurl.com/
Facebook:
https://m.facebook.com/