Tiada kaitan wang 1MDB dengan haji mabrur, kata mufti
Mufti Pahang berkata jika ada pihak yang memberi wang untuk seseorang menunaikan haji, wang itu menjadi hak mutlaknya dan tidak wajar dipersoalkan sumbernya.
(FMT) – Hanya Allah saja yang layak menentukan sama ada ibadah haji seseorang itu mabrur atau tidak, kata mufti Pahang.
Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata mabrur hanyalah ibadah yang dilaksanakan sewaktu berada di Mekah dan tiada kaitan dengan soal siapa yang memberi wang.
“Orang yang menerima mabrur ini adalah daripada Allah, apabila kita lakukan ibadah haji dengan sempurna, ikhlas, khusyuk dan seluruhnya. Banyak kategori yang menyebabkan seseorang itu boleh mabrur, bukan kerana duit.
“Mabrur ini kita nak tahu apabila selepas menunaikan haji, akan berlaku perubahan daripada segi ibadah dan keperibadian dia. Dia akan jadi orang yang lebih baik, meningkat amal soleh dan itu yang dikatakan mabrur,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, pada satu ceramah di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa jemaah yang menunaikan ibadat haji dengan menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MBD), tidak akan mendapat haji mabrur.
Bekas perdana menteri itu juga berkata ia berpunca daripada wang haram yang dikatakan dicuri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Rahman berkata jika ada pihak yang memberi wang untuk seseorang menunaikan ibadah haji, wang berkenaan menjadi hak mutlaknya dan tidak wajar dipersoalkan sumbernya.
“Daripada segi pemberian, orang memberi kita sesuatu, itu sudah menjadi hak kita, tidak perlu tanya orang yang memberi dan hasilnya daripada apa. Yang penting, dia (pemberi wang) melepaskan jalan untuknya mengerjakan haji.
“Haji adalah rukun kepada mereka yang mampu, mampu ini sesiapa saja yang bantu menyebabkan dia mampu untuk pergi menunaikan haji. Tidak salah untuk menerima wang daripada sesiapa untuk dia mengerjakan haji,” katanya.
Sejak 2011, Yayasan 1MDB menaja ahli jawatankuasa masjid untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Pada 2011 seramai 111 jemaah dari seluruh negara dihantar menunaikan ibadah haji dan jumlah bertambah kepada 400 orang pada tahun berikutnya, 2013 (800), 2014 (1,000) dan 2015 (1,200).
Manakala, bagi 2016 seramai 150 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Sarawak dipilih menyertai program itu.