Haji tak mabrur guna duit 1MDB, kata Dr Mahathir


mahathir-1mdb-haj

Bekas perdana menteri berkata haji tidak mabrur itu berpunca daripada wang haram yang kononnya dicuri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan digunakan untuk menghantar jemaah ke Mekah.

(FMT) – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa jemaah yang menunaikan ibadat haji dengan menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MBD), tidak akan mendapat haji mabrur.

Bekas perdana menteri itu berkata haji yang tidak mabrur itu berpunca daripada wang haram yang dikatakan dicuri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Najib boleh bagi, kenapa dia boleh bagi kerana dia curi duit, duit curi halal ke tidak. Kalau dia bagi duit curi kita buat kerja haji, bagus ke tidak?

“Itulah yang dia buat, tiap-tiap tahun nak hantar 1,000 orang buat kerja haji dengan duit curi. Saya ingat bukan haji mabrur la tu, haji kurang mabrur,” katanya ketika berucap pada satu majlis di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Sejak 2011, Yayasan 1MDB menaja ahli jawatankuasa masjid untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Pada 2011 seramai 111 jemaah dari seluruh negara dihantar menunaikan ibadah haji dan jumlah bertambah kepada 400 orang pada tahun berikutnya, 2013 (800), 2014 (1,000) dan 2015 (1,200).

Manakala, bagi 2016 seramai 150 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Sarawak dipilih menyertai program itu.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata Najib merosakkan negara dengan cara seperti itu.

“Inilah Najib dan dia rosakkan negara kita ini dengan cara yang cukup buruk sampai sekarang negara kekurangan duit. Sekarang ini kalau minta ubat dia suruh beli sendiri,” katanya.



Comments
Loading...