TMJ: Jangan tangkap mereka yang hina saya
(MMO) – Tunku Ismail Ibrahim bertitah hari ini mencadangkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menahan individu yang menghina baginda, selepas sekurang-kurangnya tiga orang diberkas dalam masa seminggu.
Menurut Tengku Mahkota Johor itu, baginda sebenarnya tidak peduli kata orang, namun tidak dapat berbuat apa-apa jika ada laporan polis yang dikemukakan terhadap seseorang yang mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina.
“Saya dengan rendah diri mencadangkan kepada PDRM agar tidak menangkap mana-mana individu yang telah membuat sebarang kenyataan yang menghina terhadap saya,” katanya dalam satu coretan di laman rasmi pasukan bola Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigers.
“Saya lebih suka jika pihak berkuasa dapat menganjurkan pertemuan antara saya dan individu-individu tersebut dan memberikan mereka peluang untuk menyuarakan apa yang mereka mahu katakan kepada saya secara berhadapan, dan bersemuka antara mereka dan saya sahaja.
“Saya akan menghargainya jika anda bersetuju dengan cadangan ikhlas saya ini,” tambahnya.