Amiruddin masih kekal ketua pembangkang Kedah


amiruddin

(Sinar Harian) – Pas Kedah dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya telah mengambil maklum tentang perletakan jawatan Datuk Ir Amiruddin Hamzah sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah.

Pesuruhjaya Pas Kedah, ‎Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, namunpun begitu ‎Amiruddin masih kekal memegang jawatan Ketua Pembangkang Dun Kedah, Pengerusi Pembangunan Kompleks Pas Kedah dan beberapa entiti lain yang diberi tanggungjawab keatasnya oleh Pas Kedah.

“Beliau kekal beristiqamah dan terus memberi khidmat kepada Pas.

“Pentadbiran Pas Kuala Kedah berjalan seperti biasa dengan tugas-tugas dilaksana oleh Pemangku jawatan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Fakhruddin berkata ‎sehubungan dengan itu, beliau menyeru kepada semua ahli Pas Kedah agar terus fokus terhadap kerja-kerja mendekati rakyat serta memperjuangkan hak-hak mereka dengan penuh dedikasi.

Terdahulu ‎Amiruddin yang juga merupakan Adun Anak Bukit meletakkan jawatannya sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkuat kuasa serta merta.

Sumber terdekat Pas Kedah memaklumkan, Amiruddin telah memaklumkan perkara itu kepada Ahmad Fakhruddin  kelmarin melalui surat rasmi.

Amiruddin sebelum ini menolak jawatan Pesuruhjaya Pas Kedah yang ditawarkan kepadanya oleh Pas Pusat bagi menggantikan Datuk Mahfuz Omar yang tidak dilantik semula bagi sesi 2015-2017, sebelum melantik Ahmad Fakhruddin.

Amiruddin yang juga bekas AJK Pas Pusat sejak beberapa penggal lalu turut tewas dalam pemilihan lalu apabila perwakilan hanya memilih calon dalam senarai ‘cai’ kumpulan konservatif.

Rombakan kepimpinan Pas Kedah turut menyaksikan Amiruddin tidak terpilih dalam barisan kabinet baharu, apabila digugurkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1, digantikan bekas Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan Pendang.

 



Comments
Loading...