Azmin mengaku berjumpa dengan Muhyiddin


Azmin_Ali

(Suara TV) – Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, mengakui beliau ada berjumpa Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi perjumpaan itu dilakukan atas kepentingan negara dan bukan seperti yang didakwa penulis blog Raja Petra Kamarudin. 

Beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Raja Petra bahawa perjumpaan itu diadakan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

“Jangan dengar Raja Petralah, dia cari makan,” kata Azmin semasa menghadiri jamuan Aidilfitri di Kampung Melayu Batu Caves hari ini. 

Bagaimanapun, Azmin berkata beliau tidak lagi berjumpa dengan Muhyiddin setelah ahli politik dari Johor itu dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Malah katanya, selain Muhyiddin, beliau pernah berjumpa dengan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Apalah, saya jumpa semua orang. Saya pernah jumpa Najib, tak jadi isu ke?

“Saya jumpa Datuk Seri Najib, saya jumpa Tan Sri Muhyiddin, saya jumpa Datuk Seri Hishammudin……Kita bincang kepentingan negara. 

“Saya jumpa Najib dan Muhyiddin untuk bincang soal air Selangor,” katanya lagi.

Apabila wartawan bertanya sama ada wujud konspirasi anti-Najib seperti dakwaan Raja Petra, Azmin berkata: “Tak ada, kita tumpu soal selesai masalah air di Selangor.” 

Raja Petra semalam menulis pemecatan Muhyiddin bukan disebabkan isu yang melanda syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB). 

Sebaliknya, pengendali portal Malaysia Today itu mendakwa, pengguguran Muhyiddin dibuat kerana beli­au didakwa turut bersama pe­mimpin pembangkang merancang meluluskan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen. 

Bagaimanapun Raja Petra men­dakwa dalam portal itu, komplot tersebut tidak berjaya kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu menyertai kons­pirasi berkenaan sekali gus menye­babkan mereka kekurangan undi. 

“Mereka memerlukan semua undi dari Pakatan Rakyat dan lagi 30-40 undi dari Barisan Nasional, yang didakwa akan diusahakan oleh Muhyiddin. Tanpa undi Pas, usaha itu akan sia-sia.

“Situasi itu yang menyebabkan Najib perlu memecat Muh­yiddin. Ia tidak mempunyai kaitan de­ngan 1MDB. Ia disebabkan undi tidak percaya yang dirancang oleh Muhyiddin. Isu 1MDB akan menjadi alasan untuk melaksanakan undi tidak percaya itu,” katanya melalui portal tersebut.



Comments
Loading...