PKR kesal DAP tergesa-gesa tamatkan riwayat Pakatan Rakyat


wan_azizah_2308_620_414_100

(Antara Post) – Tindakan DAP mengumumkan penamatan Pakatan Rakyat adalah tindakan tergesa-gesa dan PKR akan terus beri sokongan pada kerajaan negeri pimpinan PAS di Kelantan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Presiden PKR itu, meskipun DAP mengambil pendirian sedemikian, kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor dan di Pulau Pinang tetap kekal berdasarkan ‘semangat’ gabungan pembangkang berkenaan.

Kenyataan PKR itu membayangkan ia tidak akan tunduk kepada desakan DAP untuk memaksa wakil PAS dalam kerajaan negeri Selangor meletak jawatan.

“Biro Politik PKR yang bermesyuarat semalam kesal dengan usul diterima tanpa bahas di Muktamar PAS ke-61 dan berikutnya Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah mengumumkan penamatan riwayat Pakatan Rakyat yang kami anggap tindakan tergesa-gesa,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Azizah berkata ekoran daripada tindak dua parti itu, gabungan politik Pkatan Rakyat tidak lagi berfungsi secara formal.

Pada Muktamar PAS yang lalu, pucuk pimpinan parti itu dikecam kerana meluluskan tanpa bahas Dewan Ulama, yang menggesa parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Susulan usul kontroversi itu, DAP menuntut semua wakil PAS dlaam kerajaan negeri Pulau Pinang meletak jawatan dan menggesa kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR mengambil tindakan yang sama.

Bagaimanapun setakat ini Menteri Besar Selangor, Azmin Ali belum tunduk pada desakan DAP itu.

Azizah berkata sokongan PKR untuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob adalah berasaskan semangat dan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Menurutnya, meskipun Pakatan rakyat tidak dapat berfungsi seperti biasa, PKR tidak akan tersasar daripada matlamatnya menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“KEADILAN akan terus merintis usaha-usaha membina permuafakatan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan-kumpulan rakyat dan tokoh-tokoh berpengaruh untuk menumbangkan Barisan Nasional,” ujarnya.

Perbalahan antara DAP dan PAS sampai kemuncaknya setelah PAS bersungguh-sungguh mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang yang ingin meneruskan pembentangan rang undang-undang persendirian bersabit hukum itu di parlimen, membuatkan DAP mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan pemimpin ulama itu, Mac lalu.

DAP berkata, parti itu tidak dapat bekerjasama dengan seorang presiden PAS seperti Hadi yang telah bertindak tidak jujur dan tidak bermaruah serta membelakangkan PR.

 



Comments
Loading...