Ketua Pemuda PAS Kena ‘Boo’


Suhaizan Kaiat

(Rakyat News) – Kurang 12 jam sebelum berlangsungnya proses pemilihan parti, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dilihat ‘kurang bernasib baik’ apabila  di’boo’ sekumpulan lelaki, dipercayai pemerhati muktamar sayap parti itu.

Respons tersebut diterima ketika penyandang jawatan yang bakal bertanding mempertahankan kerusi itu berada di pentas bagi memberi penjelasan berhubung isu dan perkara yang dibangkitkan perwakilan melalui perbahasan di Muktamar Pemuda PAS ke-56, malam Selasa.

Suhaizan tampil selepas dijemput oleh Pengerusi Tetap, Kamal Ashaari untuk menjawab pertanyaan yang dibangkitkan beberapa perwakilan berkaitan dirinya dan isu kepartian.

Antara yang dipersoalkan adalah sejauh mana Suhaizan, atas kapasitinya sebagai ketua sayap parti itu mengadakan perbincangan dengan DAP yang dilihat semakin lantang menentang hudud dan menyerang kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perasaan ‘kurang senang’ dengan Suhaizan dapat dilihat sebaik sahaja beliau naik ke pentas apabila kedengaran suara-suara, dipercayai pemerhati yang ditempatkan di dewan berasingan.

Keadaan masih tenang apabila Suhaizan menjawab satu demi satu persoalan, termasuk mengenai pendirian konsisten DAP berkaitan  hudud.

Kemuncak ketidakpuasan hati itu ditunjukkan kumpulan tersebut apabila kedengaran dengan jelas – “boo” ketika  beliau menyatakan pendirian bahawa Pemuda PAS mengangkat idea dan kepimpinan Hadi.

Tidak cukup dengan “boo”, ada juga terselit suara yang melaungkan perkataan ‘penipu’, ketika beliau memberi penjelasan.

Pada pemilihan parti yang berlangsung pada pagi Rabu, Suhaizan dicabar calon yang bukan calang-calang iaitu Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dilihat mempunyai pengaruh besar kepimpinan bapanya yang juga bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini Suhaizan dilihat lebih mesra Pakatan Rakyat namun situasi itu mungkin berakhir jika Nik Abduh berjaya merampas kedudukan tersebut.

Berbanding Suhaizan, Nik Abduh lebih lantang mengkritik kepimpinan DAP dan PKR khususnya dalam mempertahankan prinsip perjuangan parti Islam itu termasuk yang terbaharu berkaitan pelaksanaan hudud.

 



Comments
Loading...