Saya keluar dari Malaysia kalau Hudud dilaksanakan – Marina Mahathir
(Suara TV) – Aktivis sosial, Marina Mahathir berkata akan meninggalkan negara ini, sekiranya Malaysia melaksanakan Hudud di bawah undang-undang Syariah Islam.
“Saya tidak boleh hidup di negara di mana manusia mahu memotong tangan manusia lain, atau mahu merejam manusia dengan batu sehingga mati, saya minta maaf,” katanya kepada pemberita dalam satu sesi temu bual diadakan seperti yang dilaporkan portal Malay Mail.
“Saya tidak akan tinggal di negara Arab Saudi, misalnya. Saya tidak mahu tinggal di negara di mana hukum ini adalah polisi negara tersebut.”
Matlamat perlaksanaan undang-undang syariah dan hukum Hudud telah dikemukakan oleh PAS setelah dipengaruhi oleh pemimpin-pemimpin Islam dan ulama terkenal. Untuk itu, Presiden Parti PAS, Abdul Hadi Awang telah memohon untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hukuman hudud dilaksanakan di Kelantan seperti yang telah dipinda dalam enakmen negeri baru-baru ini dalam undang-undang syariah.
Hadi berkata, baru-baru ini beliau bercadang untuk bertemu dengan pemimpin Barisan Nasional bagi membincangkan perlaksanaan hudud di Kelantan.
Penggubal undang-undang UMNO Negeri menyokong negeri Kelantan melakukan pindaan pada bulan Mac, manakala PAS bersepakat untuk membentuk “kerajaan perpaduan” bersama UMNO tetapi Barisan Nasional masih belum mengambil pendirian tegas mengenai pindaan perlembagaan tersebut.
Kontroversi hudud telah menyebabkan keretakan dalam parti Pakatan Rakyat, dimana parti DAP mendakwa PAS telah menentang prinsip parti sebagai melanggar keputusan sekular Perlembagaan.
Marina yang juga anak kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu pengalamannya bertemu dengan rakyat Iran berstatus kelas pertengahan hidup dalam keadaan terbuang di New York akibat dari amalan agama yang agresif dalam kelompok manusia sekular selepas hak-hak wanita diketepikan selepas Iran menjadi sebuah negara Islam.
“Pada saya, saya tidak mahu menjadi seperti itu, saya tidak mahu menjadi rakyat yang terbuang. Dengan itu, saya sentiasa berfikir tidak mengapa, saya akan tinggal dan tetap akan berjuang,” katanya. Walau bagaimanapun dia akan berhijrah jika hudud tetap mahu dilaksanakan, lapor Malay Mail Online.
Keazaman beliau untuk terus berjuang demi hak-hak wanita adalah berikutan didikan yang diterima ketika dibesarkan untuk sentiasa jujur dan bertimbang rasa terhadap orang lain, “untuk berkata sesuatu atau melakukan sesuatu sekiranya saya melihat ia adalah salah”.
“Ia adalah satu bentuk ibadah. Ia adalah bagaimana saya menjalani hidup saya sebagai seorang Islam,” katanya, “ia bukan hanya sekadar amalan, ia adalah tindakan dan cubaan untuk melakukan kebajikan, untuk menjadi bertimbang rasa dan memastikan keadilan.”