Najib, Rosmah saman Rafizi
(Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan pemilik portal ‘Media Rakyat’ Chan Chee Kong berhubung isu subsidi minyak.
Saman tersebut difailkan pada 16 April menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dan ia diserahkan kepada Mohd Rafizi dan Chan pada Jumaat.
Menerusi writ saman, Najib dan Rosmah menamakan Mohd Rafizi sebagai defendan pertama manakala Chan, defendan kedua.
Dalam penyata tuntutan, mereka mendakwa Mohd Rafizi telah memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak pada 22 Nov 2014.
Najib dan Rosmah mendakwa ucapan Mohd Rafizi telah dirakam oleh ‘Media Rakyat’ yang kemudiannya dimuat naik oleh Chan atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk ‘Rafizi Ramli:Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak’.
Mereka juga mendakwa bahawa rakaman yang sama turut dikongsi oleh Chan dalam laman facebook Media Rakyat, dengan ia boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet seluruh dunia.
Kata mereka, rakaman tersebut telah ditonton sebanyak 9,736 kali dalam laman YouTube setakat 15 April manakala terdapat 356,569 pengguna yang mengikuti facebook milik Rafizi dan 162,118 lagi dalam facebook Chan.
Najib dan Rosmah berkata Mohd Rafizi mempunyai niat supaya perkataan yang disebut olehnya diterbitkan semula oleh media massa untuk dibaca oleh orang ramai dan Mohd Rafizi bertanggungjawap dalam memfitnah mereka.
Menurut mereka lagi Chan telah gagal mengamalkan prinsip ‘responsible journalism’ atau kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung di dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.