Pembangkang biadap pakai serba hitam


Perak DUN

(Bernama) – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyifatkan tindakan semua Adun pembangkang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan Dun hari ini sebagai biadab dan tidak menghormati institusi Diraja.

Zambry turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Adun pembangkang yang tidak menghormati Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang pada hari ini mencatatkan sejarah keberangkatan pertama baginda ke Dun selaku Sultan Perak ke-35 dengan mengenakan pakaian rasmi Sultan.

Menurut beliau, perbezaan yang wujud antara kerajaan dan pembangkang tidak perlu dipanjangkan sehingga ke tahap memalukan Sultan.

“Hari ini merupakan majlis istiadat pembukaan dewan yang memerlukan mereka) memakai pakaian seperti sebelum ini, tetapi mengapa hari ini jadi begini, apa pun alasan yang mereka berikan saya tidak terima sama sekali.

“Pembangkang memakai serba hitam melambangkan kematian, kesedihan, kegelapan dan berkabung,” katanya kepada pemberita selepas istiadat itu hari ini.

Zambry berkata, tindakan biadab Adun pembangkang itu juga menyebabkan Sultan Nazrin menitahkan untuk tidak menghadiri sesi bergambar dan majlis santapan.

Ditanya adakah Sultan Nazrin Shah murka dengan tindakan Adun terbabit, menteri besar berkata: “Saya tidak berhak mengatakan Sultan murka atau tidak tetapi kita tahu tindakan tiada sesi bergambar dan sebagainya, kita boleh baca dan sangat mengejutkan baginda.

“Tuanku amat berharap sesi bergambar diadakan kerana pertama kali baginda dengan penuh bersejarah merasmikan Dun dan dalam titah ucapan, tuanku menyebut hari ini adalah pembukaan dewan yang bersejarah bagi baginda selaku seorang Sultan,” katanya.

Beliau berkata, kemungkinan Adun pembangkang itu akan memohon maaf kepada Sultan Nazrin Shah atas keterlanjuran mereka tetapi perbuatan memakai pakaian serba hitam telah memperlihatkan sikap sebenar mereka.

“Rakyat akan lihat watak mereka ini… mungkin dia nak elak daripada isu lain, ini strategi mereka, tetapi janganlah sampai perkara yang tidak sewajarnya dipolitikkan turut dipolitikkan,” katanya.

Sejumlah 26 Adun pembangkang tiba di perkarangan bangunan Perak Darul Ridzuan pagi tadi, secara berkumpulan dengan berpakaian serba hitam.

Terdahulu, pada sidang akhbar berasingan, Ketua Pembangkang Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata tindakan mereka memakai pakaian serba hitam antaranya sebagai tanda protes dan solidariti terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara.

Tindakan protes itu juga sebagai menunjukkan rasa marah atas kenaikan harga barang kini dan penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) esok.

 



Comments
Loading...