Sudah tiba masa Umno-Pas gabung
(Sinar Harian) – Semua pihak wajar membuka mata berikutan kemelut Pas-DAP yang semakin meruncing kebelakangan ini.
Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, ternyata gabungan Pas-DAP-PKR hanya bersandarkan kerakusan kuasa politik, sudah tiba masa Umno dan Pas bergabung demi perpaduan ummah di negara ini.
“Saya amat positif untuk melihat dua parti utama Melayu Islam, iaitu Umno dan Pas bergabung. Gabungan ini mampu menempa aura baharu dalam sejarah politik perpaduan ummah di negara kita,” katanya.
Menurutnya, Pas-Umno mempunyai lebih banyak titik persamaan berbanding Pas-PKR-DAP, di mana persamaan kerjasama itu hanya untuk menumbangkan BN.
“Tidak salah jika Umno dan Pas bersatu, bukan? Umno dan Pas mempunyai banyak titik persamaan sebenarnya berbanding Pas dengan DAP dan PKR. Titik persamaan Pas dengan DAP/PKR hanyalah satu, iaitu mahu menumbangkan BN sebagai peneraju utama kerajaan di Malaysia,” katanya.
Sebaliknya, katanya, penyatuan umat Islam membabitkan dua komponen parti Umno dan Pas sekiranya berlaku tidak akan mencetuskan ‘IslamoFasismo’ sebagaimana dakwaan segelintir pihak, bahkan ia akan menepati maqasid syariah yang mana penyatuan itu turut menstabilkan kedudukan politik negara dan kemakmurannya akan dinikmati setiap golongan termasuk bukan Islam.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, berbanding gabungan antara Pas-DAP-PKR, di mana kini memperlihatkan umat Islam yang berpecah-belah hanya disebabkan sentimen kerakusan kuasa politik duniawi.
“Mungkin tindakan Adun-Adun BN di Kelantan yang menyokong pindaan enakmen hudud baru-baru ini memberikan titik isyarat mula yang membawa makna kepada penyatuan antara Umno-Pas suatu hari nanti,” katanya.
Menurutnya, keikhlasan amat penting dalam apa jua tindakan ke arah penyatuan umat Islam di Malaysia yang sebelum ini ditakuti mereka yang tidak menghormati Islam, hak dan keistimewaan Melayu serta kurang sifat nasionalisme dalam siasah negara.
“Umno dan Pas perlu bersatu demi kepentingan Melayu. Hanya dengan penggabungan ini, Malaysia akan terselamat daripada anasir asing, termasuk pertempuran politik perkauman sempit yang menjurus kepada kehancuran pembinaan bangsa Malaysia,” katanya.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, penggabungan antara Pas-PKR-DAP yang membentuk PR nyata tidak akan berjaya apabila Melayu Islam dalam Pas bersedia memilih wakil DAP sebagai pemimpin mereka, sedangkan komuniti itu masih lagi tetap memperjuangkan sikap kepentingan diri.
“Melalui kerajaan perpaduan Umno dan Pas, bukan sahaja Melayu Islam terselamat, bahkan keamanan, kestabilan dan kedudukan institusi kerajaan yang dipimpin oleh sistem beraja dan Perdana Menteri Melayu juga tidak akan terhapus,” katanya.