2015: Tempoh semakin singkat buat Umno
Nur Jazlan Mohamed, TMI
Hari ini, 1 Januari 2015 tidak seperti kebiasaannya dengan pelbagai pesta sambutan pada malam menyambut tahun baru, tiada sambutan besar-besaran diadakan malam tadi berikutan rakyat Malaysia masih belum pulih daripada musibah banjir terburuk dan terbesar melanda negara ini.
Ketika ini, lebih 100,000 rakyat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor masih berada di pusat penempatan banjir selepas terpaksa berpindah daripada kediaman masing-masing sejak dua minggu lalu.
Pengakhiran tahun 2014 selain musibah banjir ini turut diakhiri dengan tragedi menimpa pesawat AirAisa Indonesia QZ8501 dan walaupun hanya seorang rakyat Malaysia disahkan berada dalam pesawat malang berkenaan, seluruh negara turut merasai kehilangan syarikat tambang rendah negara berkenaan kerana ia adalah jenama Malaysia yang dibangunkan di negara ini.
Bencana banjir ini juga memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Najib memendekkan cuti peribadinya di Amerika Syarikat selain mengarahkan semua menteri Kabinet yang sedang bercuti pulang ke Malaysia bagi membantu mangsa banjir.
Nampaknya tahun 2014 boleh digelar sebagai tahun bencana buat Malaysia selepas banjir besar ketika ini, rakyat Malaysia juga masih belum pulih daripada trauma kehilangan pesawat MAS, MH370 dan MH17.
Seharusnya, pemimpin politik mengadakan ‘gencatan senjata’ dalam berpolitik dan bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia mengharungi tahun bencana ini selain berhenti menuding jari antara satu sama lain mencari salah.
Sebab itu saya berulang kali menyatakan sudah sampai masanya pemimpin dan parti politik negara ini mengamalkan politik matang atau politik baru serta menghentikan politik berlawan atau politik kebencian memandangkan politik matang inilah yang amat diperlukan rakyat Malaysia dalam mengharungi waktu getir ini.
Tidak ada gunanya mencari salah atau menunjukkan kekuatan politik hingga menyebabkan rakyat menyampah kerana tiada penghujungnya dan mereka yang kemudian akan membuat perhitungan di peti undi tiga tahun lagi.
Menyambut kesedaran itu juga Umno sebagai sebuah parti tulang belakang dalam kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) dan di 12 negeri lagi perlu segera menunjukkan perubahan dalam pendekatan politik parti untuk terus meraih sokongan rakyat.
Disebabkan itu juga saya sanggup ‘menjual’ diri menjadi ahli panel dalam forum anjuran Majlis Peguam dan Hakam baru-baru ini bertajuk ‘Freedom Of Expression: Under Threat’ walaupun menyedari karier politik sebagai ahli Parlimen BN dan ketua Umno Bahagian Pulai berada dalam bahaya.
Apa tidaknya, memasuki ‘sarang’ kuat pembangkang, ramai menyangka saya menyokong pendirian pembangkang berhubung pemansuhan Akta Hasutan sedangkan, saya sejak mula lagi konsisten dengan pendirian supaya akta berkenaan perlu wujud demi menjaga keharmonian dan ketenteraman rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.