Rombak UMNO Selangor sebelum PRU14


Salamon Selamat

(Rakyat News) – Umno Selangor digesa menyegerakan penstrukturan semula dengan membuat rombakan barisan kepimpinan parti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ketua Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor, Datuk Salamon Selamat berkata, Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar perlu bertindak segera bagi memperkukuhkan barisan komponennya.

“Ambil tindakan positif iaitu memperkemaskan struktur kepimpinan dengan mengetengahkan pemimpin muda berkaliber.

“Saya yakin dengan membuat rombakan dan memilih kepimpinan muda mampu memberi satu kelainan sekali gus mampu mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu Noh terus menerajui Selangor perlu digunakan sepenuhnya untuk memberi nafas baru dalam parti dan mengembalikan keyakinan rakyat dengan melantik barisan pelapis baru dalam hierarki politik Selangor.

“Seluruh jentera parti juga mesti boleh bekerjasama dan menandingi PR. Itu realiti yang terpaksa dilakukan untuk tarik golongan belia,” katanya.

Saloman turut menyarankan Umno Selangor memperkuatkan beberapa aspek seperti pendaftaran pemilih, keahlian dan pengurusan.

“Kalau kita tengok struktur pentadbiran Umno masih lemah.  Umno perlu sedia berubah bagi memastikan parti ini masih relevan,” katanya.

Beliau juga mahu Umno kembali kepada asal dengan melihat acuan sebelum ini selain menguasai isu-isu tempatan.

“Perjuangan dahulu perlu diguna pakai mengikut cara pemikiran barisan kepimpinan muda.  Saya percaya Umno mampu melakukannya,” katanya.

 



Comments
Loading...