‘Saya bukan penyokong PR’


image

(Sinar Harian) – Waktu kami jadi mahasiswa inilah ada masa. Daripada kami melepak dengan orang-orang yang tidak berfaedah atau ke pusat beli-belah…buang masa, baik kita belajar dan praktikkan.

NAMA Presiden Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol, 23, tiba-tiba menjadi perhatian umum gara-gara tindakannya menganjurkan pidato ‘40 Tahun: Dari UM ke Penjara’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam kampus universiti itu pada malam terakhir sebelum perbicaraan rayuan Anwar berhubung kes Liwat II mula dibicarakan di Mahkamah Persekutuan 28 Oktober lalu.

Bagi propembangkang, Fahmi dianggap wira baharu daripada generasi pelajar selepas aktivis mahasiswa propembangkang Adam Adli Abd Halim.

Bagaimanapun pihak yang menentang tindakannya tetap melihat, seperti Adam, anak muda itu juga ikut terperangkap dengan gejolak darah panas yang terkeliru dengan permainan politik golongan dewasa memperalatkan mereka di sebalik apa yang mereka sendiri sangka idealisme mahasiswa.

Ketika ditemuramah wartawan Sinar Harian Online, Fahmi terus-terang membuat pengakuan “saya bukan penyokong pembangkang!”

Ikuti kenyataan penuhnya kepada RAZIATUL HANUM A RAJAK.

Apakah sebenarnya yang Fahmi cuba perjuangkan?

Pertama, kebebasan akademik. Universiti ini perlu bebas daripada cengkaman mana-mana parti politik. Tak kisah daripada PR ataupun kerajaan sendiri. Saya percaya universiti perlu bersifat mandiri, demokrasi dan juga bebas daripada mana-mana parti politik. Yang patut menerajui universiti adalah ahli akademik.

Bagi saya, universiti perlu bebas daripada (pengaruh) mana-mana pihak. Mahasiswa boleh bersuara dengan laras yang baik iaitu laras ilmu. Pensyarah juga boleh bersuara atau bertukar-tukar pandangan atas laras ilmu. Itu yang kita cuba bawa.

Kenapa baru sekarang Fahmi Zainol jadi perhatian umum?

Sebelum ini pun, saya sudah memperjuangkan mahasiswa. Mungkin sekarang baru nampak (menonjol) kerana saya Presiden PMUM.

Sebelum ini saya berada dalam Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM). Macam biasa, kita memperjuangkan kebebasan akademik tapi mungkin pada waktu itu, tidak dapat perhatian media. Ramai mahasiswa yang bertindak seperti saya…mungkin selepas mendapat jawatan sebagai Presiden PMUM, barulah media captured (sambar) saya.

Saudara dikenali setelah dilihat seolah-olah mempertahankan Datuk Seri Anwar?
Sebelum ini saya pernah mengendalikan perhimpunan di UM mempertahankan Prof Redzuan (pemecatan Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM). Mungkin media tak captured sebab beliau ahli akademik.

Kedua, kita buat perhimpunan mempertahankan Prof Madya Dr Azmi Shahrom (pensyarah undang-undang)  apabila  beliau didakwa mengikut Akta Hasutan 1948. Mungkin Prof Azmi tak terkenal sebab dia bukan ketua pembangkang.

Yang terakhir ini, kita bawa alumni (Anwar). Kita bawa dia untuk beri penjelasan kepada mahasiswa. Mungkin media captured disebabkan beliau public figure di negara ini.

Mungkin di situlah masyarakat ataupun media lihat. Saya bukan mempertahankan Datuk Seri Anwar tapi dari sudut ilmiah, akademik dan kemanusiaan, kita boleh bezakan yang mana betul, yang mana salah. Saya bawa dia atas kapasiti sebagai alumni UM bukan sebagai Ketua Pembangkang.

Sebagai mahasiswa, kita (dididik untuk) berbincang secara ilmiah. Kita bukan (tidak boleh) tiba-tiba bercakap tidak tentu arah.

Mahasiswa yang lantang sebelum in akhirnya berdepan tindakan. Tidak bimbangkah saudara akan hadapi tindakan sama?

Sunnah perjuangan memang ada rintangan, ketidakpuasan daripada mana-mana pihak. Itu memang berlaku. Saya rasa sebelum saya menjadi presiden MPP, perkara-perkara ini saya sudah ambil kira apa yang akan berlaku nanti. Biasalah perjuangan.

Bagaimana dengan kenyataan Fahmi sebelum ini yang minta penangguhan tindakan di UM?

Sebenarnya, kalau mengikut prosedur, prosiding di UM…kalau nak panggil prosiding, ada masanya. Ada tempoh-tempoh tertentu. Ada kata dua minggu, ada kata tiga minggu tapi UM panggil saya dalam tempoh tujuh hari. Sebab itu saya minta UM tangguh prosiding ini untuk kami buat persediaan, persiapan dan sebagainya untuk menghadapi, mendengar hujah yang seterusnya. Itu yang kami minta penangguhan. 18 November ini prosiding.

Bagaimana penerimaan Fahmi terhadap keputusan UM nanti?

Saya terima seadanya. Saya akan pastikan hak saya ditegakkan. Pertuduhan-pertuduhan semua itu boleh saya katakan langgar Fasal 10 Perlembagaan mengenai kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun. Saya rasa semua itu sudah langgar Perlembagaan kita. Undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan terbatal.

Saudara kata sudah tahu risiko atas tindakan saudara tetapi ini melibatkan pelajaran, masa depan. Berkemungkinan terpaksa kandas di tengah jalan. Apa pandangan saudara?

Kalau tergantung tengah jalan, sudah tentu saya akan bawa perkara ini kepada peringkat lebih tinggi. Sebab saya tak salah. Kalaulah sehingga memaksa saya membawa ke mahkamah luar, saya akan bawa kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan kita.

Jika saya buat jahat, jenayah, merompak dan waktu itu saya diminta tangguh pelajaran atau dikenakan tindakan, saya rela. Tapi, saya rasa bukan saya buat perkara tidak betul, jenayah dan sebagainya.

Saya hanya beri pencerahan kepada mahasiswa. Kalau dikenakan tindakan, saya terima dan saya akan bawa ke peringkat lebih tinggi untuk keadilan saya.

Apa reaksi apabila anda dicop sebagai penyokong pembangkang?

Di luar sana, tak boleh lihat saya pada hari ini tetapi lihat saya sebelum ini. Saya ada kecam tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Langkah Kajangnya itu. Saya ada beri kenyataan media.

Baru-baru ini, kenyataan Lim Kit Siang yang menyelar UM mengenai ranking. Saya tidak setuju dengan kenyataan itu sebab beliau bukan ahli akademik dalam UM.

Sebelum ini pun, saya ada bercanggah pendapat dengan PR. Tak boleh kata saya penyokong PR.

Maksudnya, di sini saudara menegaskan bahawa saudara bukan penyokong mana-mana parti politik?
Betul. Bukan (menyokong mana-mana parti politik). Memang mahu atau tidak ketika mengundi nanti kita kena memilih pemimpin yang baik. Saya akan melihat yang mana lebih baik. Betul, tak ada sempurna. Kerajaan dan pembangkang, tengok mana yang lebih baik. Mungkin PR dan kerajaan ada kelemahan sendiri. Tiada yang sempurna. Tapi saya akan memilih yang mana mampu tunjukkan prestasi lebih baik, memihak kepada rakyat.

Sekiranya saudara ditawarkan sertai  politik, apa mungkin PR?

Kalau kita lihat, Datuk Saifuddin Abdullah (bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) dari UM. Aktivis perjuangkan hak kebebasan bersuara dan  tapi apabila keluar, beliau sertai Umno.

Tak semestinya kita perjuangkan akademik…kebebasan bersuara, kita masuk PR. Cuma di peringkat saya sekarang ini, saya masih belajar. Saya pegang prinsip saya sebagai mahasiswa…kuasa yang ketiga.

Setakat ini saya tidak ada menganggotai mana-mana parti politik. Sama ada PR atau parti memerintah. Kalau ada pun, selepas saya habis belajar, saya kena kaji selidik dulu, sama ada betul atau tidak penilaian saya.

Mengikut laporan media sebelum ini, saudara akui Tun Mahathir Mohamad sebagai inspirasi, tetapi mengapa tindakan saudara nampak sebaliknya?
Kita sebagai rakyat Malaysia diberi peluang dan hak untuk mempunyai pandangan yang sendiri. Saya minat beliau sebab, beliau ada perkara-perkara yang baik. Pandangan beliau jauh ke hadapan. Perkara-perkara yang tidak baik seperti kroni dan sebagainya tak perlulah kita ikut. Tapi di peringkat saya sendiri, minat dengan cara positif beliau, pandangan beliau yang ke hadapan berbanding pemimpin-pemimpin negara yang sedia ada…yang bagi saya kebanyakannya kosong. Tapi gagasan beliau penuh dengan perancangan.

Selalu kita dengar, kalau mahasiswa, belajar sajalah. Komen saudara?

Saya cukup marah apabila orang cakap begini. Belajarlah dulu…belajarlah dulu. Kalau dulu, masa sekolah orang kata belajar dulu, OK kita boleh terima. Sekarang dah masuk universiti, belajar dulu. Nanti dah belajar, kerjalah dulu…carilah isteri dulu…belilah kereta dulu. Dah tua nanti, politik ini berilah pada orang muda. Mana penyelesaiannya?

Waktu inilah, waktu kami di gedung ilmu ini, waktu kami mencari ilmu inilah, waktu kami berada dengan pensyarah-pensyarah yang mahir dan pakar inilah, kami patut ambil teori dan praktikkan. Waktu inilah. Apabila kamu dah bekerja, bila masanya kamu nak belajar? Praktik? Kamu akan sibuk dengan kerja kamu dan sebagainya.

Waktu kami jadi mahasiswa inilah ada masa. Daripada kami melepak dengan orang-orang yang tidak berfaedah atau ke pusat beli-belah…buang masa, baik kita belajar dan praktikkan.

Untuk mahasiswa banyak masa. Kalau betul-betul di peringkat mahasiswa gunakan masa, memang cukup untuk kita buat aktiviti dan sebagainya. Saya tak tahu mahasiswa di luar sana tapi saya rasa banyak masa untuk kita bantu masyarakat. Kalau tidak anak muda, siapa lagi?

Kata-kata akhir saudara?

Bagi saya, perubahan mesti berlaku di peringkat anak muda. Anak muda di mana? Universiti. Bukan saya nak minta revolusi. Kalau kita lihat di Indonesia, siapa yang mengubah negara mereka? Mahasiswa bukan? Peristiwa di China, bagaimana? Semua ini berlaku di peringkat mahasiswa.



Comments
Loading...