PAS: Guan Eng tak perlu bangkitkan perkara remeh
Jika dibuat perbandingan, sejak 2008 Guan Eng lebih banyak tak hadir ke mesyuarat PR (Pakatan Rakyat) berbanding Abdul Hadi.
Khairil Ashraf, Free Malaysia Today
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyatakan PAS melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyerang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka.
Beliau berkata, tindakan Guan Eng membangkitkan soal ketidakhadiran Abdul Hadi ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat merupakan perkara remeh yang tidak perlu diperbesar.
“Perlu diingat, kerjasama dalam konteks tahaluf siyasi adalah antara parti dengan parti, bukan individu dengan individu.
“Jika dibuat perbandingan, sejak 2008 Guan Eng lebih banyak tak hadir ke mesyuarat PR (Pakatan Rakyat) berbanding Abdul Hadi. Tetapi itu bukan isu besar,” katanya menurut laporan Harakahdaily.
Tambahnya, setakat ini tidak pernah berlaku sesuatu keputusan tidak dapat dilakukan walaupun kedua-dua mereka tidak hadir ke mesyuarat.
Katanya, setiap wakil parti sentiasa hadir ke mesyuarat dan keputuan boleh dibuat tanpa sebarang masalah.
“Antara yang selalu hadir ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat, Lim Kit Siang sebagai wakil DAP dan saya sebagai wakil PAS. Tidak ada masalah,” ujarnya.