Dr Asri mahu Anwar tinggalkan negara dan bersara dari politik
(Suara TV) – Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata kadang-kadang beliau mengharapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan negara dan tidak lagi campurtangan dalam urusan politik negara ini.
Ujarnya, Ketua Pembangkang itu sudah lama bergelumang dalam politik dan terlalu banyak diduga dan menduga.
Pun begitu, beliau mengakui, Anwar mempunyai peranan-peranan tertentu dalam memastikan pengurusan pentadbiran negara ke arah yang labih baik.
Malah hasil pemantauan Anwar dan rakan pimpinannya dalam pakatan Rakyat menyebabkan rakyat banyak mendapat manfaat.
“Sehinggakan saya ada terfikir alangkah baiknya kalau dia pergi dan tinggalkan negara ini tidak masuk campur lagi urusan politik.
“Saya simpati dengan Anwar dari sudut usianya kalau benar dia akan masuk dalam semula sebagai orang yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang beliau juga menyumbang.
“Kerana ada juga yang didapati rakyat sekarang ini hasil daripada pembangkang yang menuntutnya,” katanya kepada AP ketika ditemubual eksklusif.
Dr Asri berkata demikian ketika diminta mengulas isu pendakwaan kes liwat II yang dihadapi Ahli Permatang Pauh itu.
Hari ini, Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan Anwar yang masuk hari ke lima. Prosiding itu pada awalnya hanya ditetapkan selama dua hari, namun dilanjutkan atas sebab hujah pembelaan yang banyak.
Dijangka keputusan akan diketahui esok, bagaimanapun ia bergantung kepada perbicaraan hari ini.
Dr Asri berkata, beliau yakin sistem perundangan negara ini akan memutuskan keputusan dengan waras dan rasional tanpa sebarang campurtangan mana-mana pihak.
“Soal fakta penilaian hakim lebih tahu, sejauh mana dia menghukum perkara itu berdasarkan fakta atau berdasarkan pengaruh tertentu.
“Rakyat juga tidak bodoh mereka juga boleh menilai tidak boleh emosi daripada awal ada di sebelah pihak sahaja,” katanya.
Dr Asri yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata jika Anwar bersara daripada politik, ia memberi peluang kepada generasi baru untuk menjadi pemimpin yang hebat.
“Ada kemungkinan kalau Anwar tidak ada lagi satu mungkin akan menjarakkan lagi jurang di dalam Pakatan Rakyat itu, dan ada kemungkinan juga akan melahirkan tokoh-tokoh baru dalam politik.
“Saya mengharapkan generasi baru untuk berpolitik kita kena lupakan mimpi lama atau episod lama yang berkaitan soal peribadi dan tidak puas hati antara veteran dalam politik,” katanya lagi.
Anwar sebelum ini berkali-kali memberitahu beliau kononnya digesa rakannya daripada luar negara untuk tidak lagi kembali ke tanah air dan meninggalkan politik Malaysia.
Namun Anwar berkata beliau tetap memilih untuk ‘mengorbankan diri’ demi menuntut transformasi dalam sistem perundangan negara semata-mata demi masa depan generasi akan datang.
Malah Anwar sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pernah berkata beliau mungkin akan bersara daripada politik sekiranya Pakatan rakyat kalah dalam PRU itu, dan boleh jadi beliau akan ‘kembali mengajar’.
Namun setahun enam bulan berlalu, Anwar masih ligat berpidato di atas pentas politik sehinggalah kes liwatnya kembali dibawa kemuka pengadilan.
Lima panel hakim mendengar rayuan Anwar, diketuai Ariffin, serta Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Barisan peguam bela Anwar diketuai Sri Ram, serta 14 peguam lain.
Anwar didakwa meliwat Saiful di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansarara, antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.