‘Jawatan itu terlalu besar buat saya’
(Sinar Harian) – Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Zawawi diminta menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai PR jika Ketua Pembangkang itu gagal dalam rayuan kes liwatnya pada perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Persekutuan sekarang.
Itulah mesej yang disampaikan menerusi Facebook bawah profil yang dinamakan sebagai Pasma Terengganu.
Menurut kenyataan yang dipaparkan bermula 23 Oktober lalu, ‘sekiranya pada 28 Oktober ini Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara, kami tanpa ragu-ragu memilih Datuk Phahrolrazi sebagai ketua kepada PR bagi meneruskan agenda Pakatan Rakyat’.
Gambar Phahrolrazi turut sama dipaparkan bersama kenyataan berkenaan.
Selain Facebook, ‘print screen’ kenyataan itu disebarkan secara meluas menerusi Whatsapp dan aplikasi media sosial yang lain.
Perkembangan itu ternyata menambah kejutan besar dalam Pas yang pada masa ini sedang dicengkam isu larangan Majlis Syura Ulama terhadap ahli parti itu daripada menyertai Pasma.
Ini berikutan dakwaan bahawa program ceramah Pasma yang mengaku hanya mahu bergiat sebagai NGO untuk mengekalkan hubungan Pas dengan parti-parti lain dalam PR sebaliknya diisi dengan kecaman terhadap pemimpin utama parti itu, terutama Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Difahamkan, buku Inside Story: Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah tulisan Mohd Sayuti Omar yang menempelak kepimpinan Pas juga diedarkan dalam program anjuran Pasma.
Senario ini menambah lagi kelam kabut dalam Pas yang sedang berdepan dengan isu perpecahan paling teruk dalam sejarah, terutama apabila kenyataan mereka yang mendakwa diri sebagai ‘Pasma Terengganu’ mahu mengangkat Phahrolrazi menggantikan Anwar seolah-olah menafikan Abdul Hadi sebagai ketua rasmi parti sejak sekian lama.
Apa lagi ia dibuat oleh pihak yang mengaku senegeri dengan Presiden Pas.
Phahrolrazi ketika ditanya Sinar Harian semalam, pantas menafikan itu kenyataan rasmi Pasma Terengganu.
“Saya yakin itu dibuat oleh individu, pandangan peribadi. Bukan kenyataan rasmi Pasma Terengganu. Ada juga kemungkinan ini perbuatan sabotaj pihak tertentu. Jangan kaitkan Pasma dengan parti politik,” tegasnya.
Tambah Phahrolrazi lagi, Pasma mampu berdiri sendiri sebagai NGO dan tidak mempunyai pendirian politik, sebaliknya berperanan sebagai wadah untuk penyokong PR menyuarakan pandangan.
Mengulas mengenai namanya dibangkitkan sebagai pengganti Anwar, Phahrolrazi berkata, jawatan itu terlalu besar untuk dirinya, selain menyifatkan mengetuai Pasma sudah memadai.
“Pemimpin yang bakal menggantikan Anwar mestilah daripada kalangan pemimpin paling kanan atau berpengaruh dalam PR. Perkara itu hanya layak dibincangkan dalam jawatankuasa tertinggi Majlis Presiden PR,” katanya.
Ditanya sama ada kemungkinan kenyataan itu direka pihak tertentu untuk melaga-lagakan pimpinan dalam PR, khususnya Pas-PKR, Phahrolrazi berkata, tidak mustahil ia dakyah untuk menjejaskan kesepakatan dalam PR.
“Saya tak tolak kemungkinan ada pihak sengaja mahu laga-lagakan pimpinan PR, kerana pihak yang mahu melihat parti ini bertelagah sesama sendiri sentiasa ada, cuma pemimpin perlu waspada elak terperangkap,” katanya.
Menurutnya, perkara yang dibangkitkan menerusi laman sosial khususnya, tidak perlu diambil serius.