Timbalan Ketua AMK Cabang Kota Bharu desak PKR ambil tindakan terhadap Azmin
(Astro Awani) – Susulan pendedahan yang dibuat ahli PKR yang digantung, Badrul Hisham Shahrin (Che Gu Bard), Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kota Bharu, Mohd Afiq Ayob membuat desakan supaya partinya mengambil tindakan terhadap Timbalan Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.
Selain itu, PKR juga didesak mengambil tindakan terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR yang menanda tangani akuan bersumpah menyokong Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor.
“Berdasarkan bukti yang dikatakan oleh Che Gu Bard, PKR perlu mengambil tindakan terhadap Azmin dan tiga Adun PKR yang menyokong beliau.
“Azmin jelas telah melanggar arahan parti bila melobi diri sendiri untuk jawatan menteri besar biarpun PKR mencalonkan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail,” katanya kepada Astro AWANI.
Mohd Afiq bagaimanapun menjelaskan desakan beliau itu atas kapasiti sebagai ahli PKR bukan mewakili AMK Cabang Kota Bharu.
Baru-baru ini, Che Gu Bard mendakwa beliau mempunyai bukti ‘permainan kotor’ Mohamed Azmin melobi diri sendiri untuk menjadi Menteri Besar Selangor.
Beliau mendakwa terdapat lima Adun (2 DAP dan 3 PKR) menandatangani akuan bersumpah menarik balik sokongan terhadap Wan Azizah.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama lima Adun tersebut tetapi meminta mereka yang terlibat tampil membuat pengakuan.
Di saat ramai yang berpendapat isu Menteri Besar Selangor sudah selesai dan tumpuan harus diberikan kepada masalah yang dihadapi rakyat negeri itu, Che Gu Bard dilihat masih mahu isu di Selangor dipanjangkan.