DAP perlu jelaskan dalam tempoh 7 hari


Datuk R. Ramanan

(Rakyat News) – Peneraju utama DAP, Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng diberi tempoh tujuh hari untuk tampil menjelaskan dakwaan 120 cawangan yang masih belum mendaftar telah hadir dan mengundi pada pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, 29 September 2013.

Ahli Jawatankuasa Disiplin MIC, Datuk R. Ramanan (gambar) berkata, perkara itu penting memandangkan pelbagai pihak terutamanya akar umbi parti tersebut mahu pengadilan dalam perkara ini.

Katanya, Kit Siang dan Guan Eng tidak seharusnya memandang sepi, malah selaku pemimpin tertinggi dalam parti tersebut, anak-beranak berkenaan perlu bertanggungjawab dan tampil menjelaskan situasi sebenar.

“Mengapa kedua pemimpin itu tiba-tiba jadi kaku dan bisu tidak dapat jawab dakwaan bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong tentang isu 120 cawangan. Adakah mereka takut kebenaran itu akan diketahui oleh masyarakat?

“Oleh itu, saya gesa Kit Siang dan Guan Eng untuk tampil menjawab dalam masa tujuh hari bermula hari ini. Jika tidak, kita anggap dakwaan Choo Keong itu benar,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Choo Keong yang sebelum ini mendakwa 120 cawangan yang masih belum mendaftar telah hadir dan mengundi pada pemilihan semula CEC DAP, 29 September 2013.

Jelas Ramanan, kedua-dua pemimpin tertinggi itu tidak boleh terus berdiam atau melarikan diri daripada isu itu kerana perkara tersebut telah menimbulkan keraguan besar dalam kalangan masyarakat.

“Jika dakwaan itu tidak benar, mengaku sahajalah, jangan menyembunyikan dan terus mengelirukan rakyat untuk mengalih perhatian mereka,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ramanan, kehadiran 120 cawangan yang belum berdaftar dan mengundi pada pemilihan semula CEC itu jelas tidak sah berdasarkan Akta Pertubuhan 1966.

“Maka bukan sahaja kedudukan Guan Eng sebagai Setiausaha Agung tidak sah, malah keseluruhan anggota CEC itu juga tidak sah,” katanya.

 



Comments
Loading...