Makin parah…Nasrudin Tantawi dakwa PasMa rancang nak jatuhkan Haji Hadi
Rosli Ismail, Agenda Daily
Hari demi hari yang pasti belum ada langsung tanda-tanda ketegangan dalam PAS dan begitu juga hubungan parti itu dengan PKR dan DAP makin reda.
Buktinya baca sendiri tulisan Ahli Parlimen PAS Temerloh Nasrudin Tantawi dibawah tajuk Pasma: Timbulnya Sebuah Kapal Selam di laman facebooknya petang Ahad.
Baru saja pada pada 9 September ,Nik Abduh anak kepada Musyridul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat cetus sensasi di facebooknya menerusi tulisannya ‘ Siapa Pengkhianat?’ dalam isu Menteri Besar Selangor.
Kebetulan kedua-dua mereka ialah Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dan diketahui umum adalah ‘panglima’ Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang.
Kebelakangan ini mereka berdua terus menerus menghalakan senapang kearah gelagat degil PKR dan DAP serta tindak tanduk sesetengah pimpinan PAS yang tidak mahu mendokong pendirian Haji Hadi dalam isu Menteri Besar Selangor.
Apapun isu ini sudah menjadi bertambah hangat sekarang dengan pendedahan Ketua Angkatan Muka Keadilan (PKR) ,Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai pertemuan beliau bersama Ketua Pemuda PAS dan DAP dengan Haji Hadi pagi Jumaat lalu
Presiden PAS itu bukan sahaja tidak berganjak malah secara terbuka memberitahu mereka beliau merasakan jalan keluar kepada krisis Menteri Besar ini ialah Tan Sri Khalid Ibrahim dikekalkan pada jawatannya.
Ini membuatkan ramai pemerhati meramalkan Muktamar PAS yang dijadual berlangsung di Batu Pahat dari 18 hingga 20 September ini pasti hangat dan tegang.
Melihat pada senario yang makin kusut ini mungkin ramai tidak terkejut mendengar dakwaan terbaru Nasrudin.
Dakwaan itu mengambarkan krisis dalaman PAS akibat dari isu Menteri Besar Selangor sudah sampai ke tahap yang serius dan genting.
Semua orang sudah tahu tentang kewujudan PasMa yang didakwa oleh penerajunya cuma sebuah NGO dalaman parti itu.
Sebaliknya Nasrudin secara terbuka mendakwa dalam tulisan di facebooknya bahawa PasMa bukan sebuah NGO yang berorientasikan kebajikan.
“Ia adalah sebuah NGO yang diluncur ke tengah arus politik tanahair dengan sentimen dan agenda politik tersendiri,” dakwanya.
Nasrudin mendakwa satu pertemuan yang diadakan Pasma di Kota Bharu pada 31 Ogos lalu telah membincangkan bagaimana hendak menjatuhkan Presiden PAS.
Dakwanya pertemuan itu sarat dengan perbincangan dan kritikan terhadap Haji Hadi.
Juga dakwanya pertemuan itu membincangkan rancangan untuk menubuhkan sebuah parti baru bagi mengantikan PAS dalam Pakatan Rakyat.
Beliau mendakwa parti itu barangkali dinamakan Parti Ummah Sejahtera.
Bagaimanapun salah seorang yang mendakwa hadir dalam pertemuan itu menulis komen dalam facebook Nasrudin dibawah tulisan berkenaan menafikan mereka bincang rancangan untuk menjatuhkan Haji Hadi.
Katanya dakwaan Nasrudin itu fitnah dan meminta ia dihentikan.
Orang itu mengakui Presiden PAS dihentam teruk dalam pertemuan itu dan mereka bersetuju kepimpinan PAS termasuk Presiden harus ditukar tetapi tidak sampai peringkat bincang strateji menjatuhkan Presiden.